Khamis, 15 Februari 2018 | 3:23pm

Kerajaan lakukan terbaik untuk veteran ATM: Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan politik kebencian lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kerajaan sudah melakukan yang terbaik menjaga kebajikan bekas anggota dan pegawai ATM.

Beliau berkata, hala tuju Kementerian Pertahanan yang dibentangkan baru-baru ini banyak membabitkan kebajikan veteran ATM dari segi pendidikan, kesihatan dan perumahan.

"Memecah belahkan kita mudah, tanam politik kebencian mudah tetapi apa perancangan mereka, busuk macam mana pun program kita, tanam kebencian macam mana pun, kita ada perancangan bukan sahaja untuk anggota malah untuk veteran ATM.

"Ada yang mengatakan ramai bekas anggota dan pegawai ATM sokong pembangkang tetapi itu hanya dakwaan kerana apa yang saya lihat majoriti veteran ATM bersama kita (kerajaan) tetapi maklumlah dalam jumlah yang besar mesti ada yang tidak puas hati," katanya.


HISHAMMUDDIN merasmikan majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira di Wisma Pewira. Turut sama, Raja Mohamed Affandi. - Foto Nstp/Muhd Zaaba Zakeria

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Logo Perkasa Perwira di Wisma Perwira ATM di sini hari ini.

Yang turut hadir, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga Menteri Tugas-Tugas Khas berkata, beliau memberi jaminan kepada veteran ATM bahawa kerajaan sentiasa mengenang jasa mereka.

"Dari segi agenda kesihatan, baru-baru ini saya meninjau tapak pembinaan Hospital Veteran ATM di Perak, ia untuk veteran, agenda pendidikan membabitkan veteran, agenda kos sara hidup juga untuk veteran.

"Ini menunjukkan veteran tentera mendapat pembelaan sewajarnya. Sebab itu jangan mudah terpengaruh dengan politik kebencian. Anggota saya pun kini tidak lagi mahu dengar cakap politik sangat dan mereka mahukan hasil serta perancangan untuk mereka," katanya.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan sedia menimbang menjadikan tarikh 14 Februari sebagai hari memperingati Leftenan Adnan seperti yang dicadangkan Persatuan Hal Ehwal Veteran ATM.

"Ini adalah idea yang konstruktif, idea yang amat baik. Saya serahkan kepada Panglima Tentera Darat dan saya sendiri sedia membawa perkara ini ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kementerian sedia menerima idea sebegini yang amat konstruktif. Bukan mereka yang hanya sekadar cakap bukan-bukan tetapi tiada perancangan," katanya.

11 dibaca
HISHAMMUDDIN berucap pada majlis Pelancaran Logo Perkasa Perwira di Wisma Pewira. Turut sama, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT) Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
Berita Harian X