Khamis, 15 Februari 2018 | 1:15pm
YANG Dipertua Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli. - Foto Zain Ahmed

Pingat kebesaran Johor cuba dijual menerusi media sosial

JOHOR BAHRU: Jumaah Majlis Diraja Johor mengesan kegiatan pihak tertentu, mengiklankan penjualan tanda kemuliaan dan kebesaran Johor, termasuk Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) dan Pingat Kemahkotaan Sultan Ibrahim, menerusi media sosial.

Yang Dipertua Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli, berkata pihaknya menerima beberapa maklumat mengenai tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu mengiklankan penjualan tanda kemuliaan dan kebesaran Johor.

"Jumaah memandang berat perkara ini kerana tanda kemuliaan dan kebesaran Johor adalah kurniaan Sultan Johor dengan titik pandang baginda yang amat limpah diatas jasa, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dan perkhidmatan cemerlang mereka kepada raja, negeri dan rakyat.

"Tanda kemuliaan itu tidak sepatutnya diperniagakan atau disalah guna untuk tujuan keuntungan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan Abdul Rahim mengingatkan orang ramai bahawa Kerajaan Johor sudah memperundangkan Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 yang berkuat kuasa pada 13 Mac 2017.

Katanya, Fasal 3 enakmen itu memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah Sultan Johor bagi maksud perdagangan, perniagaan atau apa-apa tujuan sosial atau persendirian tanpa kebenaran bertulis kepada Sultan Johor, adalah satu kesalahan.

Beliau berkata, jika disabitkan dengan kesalahan itu, mereka boleh dikenakan denda di antara RM250,000 hingga RM500,000 atau dipenjarakan di antara setahun hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Katanya, pihak tidak bertanggungjawab itu perlu menghentikan serta mereka perbuatan mereka sebelum tindakan undang-undang dikenakan.

Berita Harian X