Isnin, 12 Februari 2018 | 1:16pm
AB Aziz mengedarkan Goodies kepada pengguna jalan raya pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2018 di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1, Jalan Raja Laut. - Foto Aswadi Alias

Cadang tambah lorong di lebuh raya

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan sedang meneliti cadangan menambah bilangan lorong di lebuh raya bagi mengurangkan masalah kesesakan dan kemalangan jalan raya.

Cadangan itu membabitkan rancangan penambahan satu hingga dua lorong di kawasan lebuh raya yang kritikal di seluruh negara.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata perkara berkenaan sedang dinilai kementerian itu sebelum diusulkan kepada kerajaan.

"Setiap kali musim perayaan, banyak lebuh raya sesak kerana lorong sedia ada tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang bertambah. Misalnya, di lebuh raya bagi perjalanan dari Johor Bharu ke Ayer Hitam yang kerap sesak.

"Kementerian sedang meneliti cadangan itu dan mengenal pasti lebuh raya yang kritikal. Selain itu, kita turut bercadang menaik taraf jalan raya berisiko tinggi dan berbahaya," katanya dalam sidang media selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, pagi tadi.


WAKIL petugas dari Allianz Malaysia Bhd, Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Shell Malaysia mengedarkan jaket keselamatan kepada penunggang motosikal pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Tahun 2018 di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1, Jalan Raja Laut. - Foto Aswadi Alias

Pada majlis sama, Ab Aziz turut menyempurnakan penyerahan topi keledar dan jaket keselamatan kepada penunggang motosikal serta aksesori keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Kempen tahunan anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu bertujuan meningkatkan kesedaran etika pemanduan berhemah dalam kalangan pengguna jalan raya.

Ab Aziz berkata, kementerian itu menjangka rancangan menambah bilangan lorong di lebuh raya berkenaan dapat dilaksanakan pada tahun 2020.

Beliau berkata, cadangan itu antara usaha kementerian meningkatkan kualiti sistem pengangkutan negara.

"Apabila rancangan ini dilaksanakan, ditambah pula dengan rangkaian sistem kereta api yang bakal siap menjelang 2026, kita percaya masalah kesesakan dan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan," katanya.

Berita Harian X