Ahad, 11 Februari 2018 | 4:31pm
ABDUL Fattah (empat dari kanan) menunjukkan udang yang akan disejuk beku bagi tujuan pasaran tempatan ketika meninjau projek ternakan udang putih Amerika Selatan milik Koperasi Pelaburan Pembangunan Hartanah Perak Berhad di Temoh. - Foto Razif Rosli

Perniagaan berimpak tinggi lonjak koperasi

TAPAH: Koperasi di seluruh negara disaran melebarkan jaringan perniagaan dengan menceburi bidang berimpak tinggi bagi menjana pendapatan lumayan.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata koperasi juga perlu merebut peluang bersaing di pasaran terbuka, khususnya dalam bidang pertanian dan penternakan.

Katanya, koperasi perlu lebih berani keluar daripada perniagaan tradisional kerana perolehan koperasi dalam skala besar disumbangkan oleh mereka yang menjalankan perniagaan berimpak tinggi.

"Koperasi seharusnya sedar bahawa pasaran domestik adalah terhad dan mereka perlu meneroka ke luar bagi mengembangkan perniagaan.

"Koperasi bukan penonton sahaja, kena cuba sesuatu yang baharu dan berimpak tinggi untuk pastikan faedah ahli terus dijana. Pasaran luar akan beri peluang pasaran yang luas kepada produk dan perkhidmatan koperasi, jadi kena rebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke projek ternakan Udang Putih Amerika Latin milik Koperasi Pelaburan Pembangunan Hartanah Perak Berhad (KPPH) di Temoh dekat sini, hari ini.

KPPH dengan sokongan ANGKASA dan kerjasama Kumpulan Fubao dari China membangunkan projek berkenaan menggunakan teknologi kolam 'litar lumba'.

KPPH turut mempunyai projek ternakan seluas 101 hektar di Kampung Bukit Malut, Langkawi yang dibangunkan atas tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Ia mampu menghasilkan 250,000 metrik tan udang putih Amerika Selatan dengan pulangan mencecah RM1.5 bilion setahun.

Sementara itu, Pengerusi KPPH, Saiful Bahari Shamsudin, berkata projek ternakan udang itu dilihat mampu memberi pulangan lumayan kerana permintaan yang tinggi.

"Hasil ternakan boleh dituai dalam tempoh 80 hari dan sebuah kolam boleh mengeluarkan hasil sehingga 12 tan. Ia boleh dituai tiga kali dalam tempoh setahun.

"Udang jenis ini mendapat permintaan tinggi di restoran makanan laut, hotel, pasar raya besar dan borong seluruh negara, selain permintaan menggalakkan dari China," katanya.

31 dibaca
Berita Harian X