Sabtu, 10 Februari 2018 | 4:33pm
DATUK Sri Liow Tiong Lai (tengah) mengibar bendera pada majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya bersempena Perayaan Tahun Baru Cina 2018, turut sama Datuk Sri Saripuddin Hj Kasim, Datuk Rosli Isa dan Datuk Sri Shaharuddin Khalid di MyTown Cheras. - Foto Mahzir Mat Isa

Ops Bersepadu dilancar kurangkan kemalangan jalan raya

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) melancarkan kempen keselamatan jalan raya dan Ops Bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina sejak semalam sehingga 23 Februari ini.

Menterinya, Datuk Sri Liow Tiong Lai, berkata ops bersepadu itu membabitkan Ops Selamat yang digerakkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ops Bersepadu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Ops Selamat memberi tumpuan kepada advokasi dan penguatkuasaan undang-undang melalui konsep Ronda dan Statik di kawasan kerap berlaku kemalangan.

"Polis turut melakukan pemantauan udara bersama Pasukan Gerakan Udara PDRM yang membantu penugasan trafik dengan menunjukkan 'omni-presence'," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaan Sempena Tahun Baharu Cina 2018, di pusat beli-belah MyTown, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MOT, Datuk Seri Saripuddin Kasim, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Rosli Isa dan Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Ops Bersepadu akan bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk menjalankan pemeriksaan ujian air kencing pemandu bas di 30 terminal bas.

Tiong Lai berkata, penguatkuasaan dalam ops ini bagi mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya.

Susulan itu, katanya, beberapa program dirangka bagi mencapai objektif ini termasuk pemeriksaan bas di depoh, pemeriksaan bas di terminal, penyamaran sebagai penumpang bas dan rondaan di lebuh raya serta jalan utama dan penguatkuasaan Ops Motosikal Khas.

"Beberapa kawalan akan dilaksanakan menjelang musim perayaan termasuk larangan kenderaan barangan tertentu pada 14 dan 15 Februari ini serta 24 dan 25 Februari 2018.

"Selain itu, kerja penyelenggaraan dan pembinaan di kawasan lebuh raya, jalan Persekutuan dan jalan negeri akan dihentikan, manakala semua jentera dan peralatan akan dialihkan sepanjang tempoh operasi ini.

"Kementerian Kerja Raya (KKR) juga akan mewartakan penurunan had laju sebanyak 10 kilometer perjam (km/j) bagi jalan Persekutuan dan jalan negeri bagi tempoh sama," katanya.

Berita Harian X