Jumaat, 9 Februari 2018 | 12:43am
SHAHRIR menunjukan gambar tapak projek pembangunan projek KLVC dan projek FELCRA ketik Sidang media Pengumuman Hasil Audit Forensik Tanah Jalan Semarak di Menara Felda. - Foto Zunnur Al Shafiq

Audit forensik senarai nama Lembaga Pengarah FELDA, FIC

KUALA LUMPUR: Laporan akhir audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) menyenaraikan secara kolektif ahli Lembaga Pengarah FELDA dan Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) ketika transaksi sejak 2014 untuk tindakan tata tertib dan undang-undang.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad, berkata pihaknya perlu melakukan semakan secara perundangan menerusi firma guaman untuk mengambil tindakan sivil kepada individu yang kini bukan lagi ahli lembaga pengarah atau kakitangan FELDA atau FIC.

Katanya, pegawai yang masih lagi bersama FELDA atau FIC pula boleh dikenakan tindakan turun pangkat dan gaji, tertakluk kepada kuasa yang ada pada jawatankuasa organisasi terbabit.

"Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA akan dibantu firma undang-undang untuk meneliti peruntukkan undang-undang yang boleh diambil bagi memenuhi permintaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyatakan perlunya tindakan tatatertib dan undang-undang diambil.

"Tempoh tiga bulan diberikan kepada Jawatankuasa Siasatan Lembaga FELDA dan firma perundangan untuk melengkapkan semakan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas di sini, malam tadi.


Shahrir pada sidang media Pengumuman Hasil Audit Forensik Tanah Jalan Semarak. - Foto Zunnur Al Shafiq

Kontroversi membabitkan tanah FELDA itu tercetus selepas BH dalam laporan muka depannya pada 21 Disember lalu mendedahkan agensi berkenaan berisiko kehilangan tanah miliknya di Jalan Semarak.

Pindah milik yang diragui itu dipercayai berlaku apabila FIC melantik Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Pasukan firma audit luar yang dilantik melakukan audit forensik ke atas projek KLVC menyerahkan laporan akhir kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2 Februari 2018 untuk meneliti dan bersetuju ia memenuhi objektif pengauditan yang ditetapkan.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk ditubuhkan satu Jawatankuasa "Domestic Enquiry" bagi mengambil tindakan atas cadangan dan syor laporan audit itu.

Jawatankuasa Perunding turut ditubuhkan bagi mengkaji semula perjanjian di antara FIC dengan SPSB dan Synergy Promenade Kuala Lumpur Vertical City Sdn Bhd (SPKLVCSB).

Jawatankuasa itu disertai Datuk Dr Yusof Ismail, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Datuk Ab Ghani Mohd Ali, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, dan Datuk Seri Ahmad Husni Hussain.

40 dibaca
Berita Harian X