Khamis, 8 Februari 2018 | 9:32pm

Pesawat A320, A330 AirAsia guna sistem Skywise Airbus

SINGAPURA: AirAsia mengesahkan kumpulan pesawat A320 dan A330 sedia adanya dan pada masa hadapan akan diperkasakan dengan sistem perkhidmatan Skywise Predictive Maintenance, demikian menurut Airbus hari ini.

Skop itu merangkumi kumpulan pesawat AirAsia and AirAsia X untuk semua anak syarikatnya di Malaysia, Thailand, India, Jepun, Filipina dan Indonesia.

Syarikat penerbangan itu pada masa ini mempunyai kira-kira 230 pesawat yang sedang digunakan.

Jumlah itu dilengkapkan dengan kira-kira 470 pesanan pesawat yang masih tertangguh, termasuk 66 A330neos dan lebih 400 A320/A321neos yang masih belum diserahkan

Kesemua pesawat ini akan mempunyai keupayaan sistem Skywise.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes, berkata syarikat penerbangan itu berharap dapat memanfaatkan kuasa analisis data raya dan teknologi ramalan Skywise Airbus untuk mendapatkan kelebihan bagi keseluruhan kumpulan pesawat A320 dan A330 Kumpulan AirAsia.

"Skywise akan membolehkan kami mencapai wawasan baharu dalam operasi pesawat kami, mengoptimumkan penyenggaraan, kejuruteraan dan operasi penerbangan serta mengurangkan kos," katanya.

Perbincangan akhir mengenai perjanjian Airbus Skywise dengan Kumpulan AirAsia dilakukan di Pertunjukan Udara Singapura, hari ini.

Sebagai sebahagian daripada kontrak lima tahun, keseluruhan kumpulan pesawat AirAsia akan dilengkapkan dengan *FOMAX - sebuah modul baharu merakam data dan transmisi dalam penerbangan, yang mana ia komponen utama perkhidmatan "Skywise Predictive Maintenance Airbus".

Ketua Jualan, Pemasaran & Kontrak Airbus EVP, Eric Schulz, berkata beliau gembira kerana dapat berbincang dengan pasukan AirAsia X bagi berkongsi data awal ujian penerbangan A330neo dan membuat penilaian prestasi ramalan operasi pesawat terhadap laluan syarikat penerbangan berkenaan yang meliputi kedua-dua jaringan sedia ada dan dijangkakan.

Katanya, kesemua analisis telah membuktikan kelebihan yang dimiliki A330neo berbanding pesaingnya.

"Kombinasi penambahbaikan kerangka pesawat udara, termasuk kerja keras yang dilakukan pasukan berhubung mengoptimumkankan kos, aplikasi Skywise yang inovatif dan manfaat digital, di samping prestasi teknologi enjin baharu Trent 7000 dan mengoptimumkan kos penyelenggaraan berkaitan, memberikan kelebihan dari segi ekonomi yang tidak dinikmati sebelum ini kepada pelanggan," katanya.

Schulz berkata, Kumpulan AirAsia adalah peneraju penerbangan kos tambang rendah dalam pasaran penerbangan yang semakin berkembang di seluruh dunia dan A330neo memberikan nilai yang hebat terutama bagi segmen kos rendah jarak jauh untuk kategori 300 hingga 400 tempat duduk.

Airbus melancarkan platform data penerbangan Skywise dengan kerjasama Palantir Technologies, peneroka integrasi data raya dan analisis lanjutan sewaktu Pertunjukan Udara Paris pada Julai 2017.

Airbus adalah peneraju global dalam bidang aeronautik, udara dan perkhidmatan berkaitan. -BERNAMA

Berita Harian X