Isnin, 5 Februari 2018 | 2:41pm
KEADAAN banjir yang menyebabkan Sekolah Kebangsaan Klid/Plajau di tutup di Dalat, Mukah. - Foto Ihsan APM

Banjir Sarawak semakin buruk

KUCHING: Banjir ekoran hujan lebat sejak empat hari lalu, kini melanda hampir seluruh negeri ini dengan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus meningkat.

Sehingga jam 8 pagi ini, seramai 2,320 mangsa daripada 624 keluarga berada di 20 PPS di Kuching, Kota Samarahan, Serian, Bintulu dan Mukah.

Daripada jumlah itu, Kota Samarahan mencatat jumlah tertinggi dengan 1,154 mangsa daripada 304 keluarga ditempatkan di lapan PPS.

Mereka adalah penduduk dari lapan petempatan yang ditenggelami banjir, iaitu Kampung Baru Sebuyau, Kampung Rangawan, Kampung Seruyuk, Kampung Segali, Kampung Tanjung Bundong Lot, Kampung Sadong Jaya Ulu, Kampung Mang Lot dan Kampung Ulu Semera.

Lapan PPS dibuka di Kota Samarahan ialah Dewan Pembangunan Sebuyau yang menempatkan 124 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Rangawan Putin (321), Masjid Kampung Seruyuk (80), Dewan Masyarakat Kampung Segali (135), Dewan Suarah Kota Samarahan (35), Pusat Sumber PBB Sadong Jaya (163), SK Mang (114) dan SK Haji Kelali Semera (182).

Bilangan PPS di Bahagian Kuching pula kekal tiga, iaitu Surau Ar Rahman, Kampung Sungai Batu menempatkan 36 mangsa banjir, Masjid Darul Muttaqin, Kampung Buntal (70) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya (134).

Tiga kawasan terjejas banjir di Kuching ialah Kampung Sungai Batu, Kampung Buntal Lot dan Kampung Sungai Laru Tabuan Jaya.

Di Bahagian Serian, lima PPS kini diaktifkan, iaitu Dewan Betong Kenawit dengan 16 mangsa banjir, Dewan Lintang Baru Panchor (205), SK Samarahan (175), Surau Hadhari Kampung Rimba Padi (91) dan Gereja St Peter (75).

Petempatan dilanda banjir di Serian ialah Kampung Betong Kenawit, Kampung Lintang Baru Panchor, Kampung Siniawan, Kampung Rimba Padi dan Kampung Soh.

Sementara itu, tiga PPS dibuka di Bahagian Mukah ialah SK Parish Balingian yang menempatkan 104 mangsa dari Ladang SOP, Dewan Suarah Mesra Mukah (tiga mangsa dari Kampung Mateding), dan Dewan Masyarakat Kampung Kuala Balingian (80 mangsa dari Rumah Merling).

Di Bahagian Bintulu pula, hanya satu PPS beroperasi ketika ini, iaitu Dewan Suarah Bintulu yang menempatkan 177 mangsa dari Sungai Plan dan Sungai Sebatang Batu Lima.

Berita Harian X