Ahad, 4 Februari 2018 | 9:23am
MANGSA banjir mendaftar di pusat pemindahan sementara di SMK Tabuan Jaya, Kuching.
KEADAAN mangsa banjir seramai 5 keluarga yang berpindah ke Pusat Pemindahan Balai Raya Kampung Betong/Kanawit di Betong. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat

Lima PPS dibuka di Sarawak

KUCHING: Hujan berterusan sejak tiga hari lalu menyebabkan 320 penduduk daripada 68 keluarga ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini, pagi ini.

Daripada jumlah itu, Kuching mencatat jumlah paling ramai dengan 304 mangsa daripada 63 keluarga.

Mereka ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Surau Ar Rahman Kampung Sungai Batu iaitu 35 mangsa daripada tujuh keluarga; Masjid Darul Mustaqin, Kampung Buntal seramai 125 mangsa (20 keluarga) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tabuan Jaya dengan 121 mangsa daripada 31 keluarga.

Di Bahagian Kota Samarahan, satu pusat pemindahan dibuka sehingga jam 7 pagi ini iaitu di Dewan Pembangunan Sebuyau yang menempatkan 23 mangsa daripada lima keluarga.


ANGGOTA bomba membantu memindahkan mangsa banjir di Kuching.

Di Bahagian Serian, seramai 16 mangsa banjir daripada lima keluarga ditempatkan di Dewan Kampung Betong Kenawit.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, semua PPS dibuka mulai jam 1.40 tengah hari semalam.

"Pemantauan dilaksanakan di semua kawasan berisiko banjir di seluruh negeri dan arahan berpindah akan dikeluarkan apabila keadaan tahap berbahaya.

"Justeru, JPBN mengharapkan orang ramai mematuhi arahan pihak berkuasa jika diarah berpindah atas faktor keselamatan," katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran cuaca peringkat kuning (waspada) di negeri ini hari ini.

Ia berikutan hujan lebat dijangka melanda Kuching, Kota Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Selangau dan Mukah hingga esok.

Pemantauan di enam stesen telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati hanya satu menunjukkan penurunan iaitu Stesen Long Panai di Miri.

Stesen Samarahan Asajaya Water Intake, Batu Kitang di Kuching dan Mukah Dalat Water Work diramal meningkat manakala Stesen Batu Gong di Serian dan Marudi di Miri mendatar.

Sementara itu, air pasang besar dengan ketinggian mencapai 6.1 meter dijadual berlaku jam 8 malam ini.

Berita Harian X