Rabu, 31 Januari 2018 | 4:12pm
AHLI Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris. - Foto Zaman Huri Isa

Guru bukan musuh

JERANTUT: Ibu bapa diminta memberi kepercayaan penuh kepada guru dalam mendidik termasuk menghindari daripada memperbesarkan isu berkaitan tindakan disiplin ke atas anak mereka.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris, berkata mereka tidak perlu bermusuhan dengan guru termasuk mengheret ke mahkamah jika guru terbabit mengambil tindakan disiplin mengikut peraturan ditetapkan.

Sebaliknya, beliau berkata, kedua-dua pihak perlu bekerja sama bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan kecemerlangan akademik murid dan pelajar sekolah.

"Kita minta ibu bapa jauhi sikap cepat melatah seandainya anak didenda oleh guru kerana melakukan pelbagai kesalahan dan paling penting elak bermusuh dengan guru.

"Guru banyak menyumbangkan masa dan tenaga dalam membentuk ketrampilan anak kita, lebih baik ibu bapa memupuk sikap bertoleransi dengan guru kerana mereka tidak mendenda anak kita tanpa sebab," katanya pada majlis Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK Inderapura), di sini, hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Jerantut itu juga berkata, kerajaan menyediakan banyak bantuan dalam bentuk wang ringgit dan kemudahan untuk menyediakan modal insan berkualiti untuk masa hadapan negara.

Katanya, ibu bapa perlu bersyukur dan berterima kasih dengan bantuan dan kemudahan pendidikan yang disediakan sama ada di bandar dan luar bandar.

"Malah, ada juga agensi, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat swasta yang turut sediakan bantuan kewangan untuk pelajar daripada golongan kurang berkemampuan supaya mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi membantu meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing," katanya.

Berita Harian X