Selasa, 30 Januari 2018 | 3:42pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said. - Foto Khairull Azry Bidin

Jawatankuasa khas dibentuk kaji undang-undang kekang berita palsu

KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas sudah dibentuk untuk mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata, jawatankuasa itu bermesyuarat kali pertama minggu lalu dan dihadiri wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju jawatankuasa ini disertai badan bukan kerajaan (NGO) dan Ahli Parlimen untuk memastikan usaha kerajaan menangani isu ini mendapat sokongan pelbagai pihak serta melalui proses perundingan semua pihak berkepentingan.

"Jawatankuasa khas ini akan mengkaji undang-undang berkaitan dan peruntukan baharu untuk dibawa kepada pertimbangan Kabinet. Kerajaan juga berharap undang-undang baharu ini boleh dibawa ke Parlimen pada persidangan akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, Najib berkata, kerajaan akan mengkaji untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran berita palsu di media sosial berikutan kesannya yang membimbangkan dan mengancam kestabilan politik serta ketenteraman awam.

Azalina berkata, selain Malaysia, negara lain juga kini turut berusaha mengambil pelbagai langkah mengatasi isu ini (berita palsu) termasuk merangka undang-undang baharu yang berkaitan.

Katanya, pada masa ini terdapat beberapa akta sedia ada diguna pakai seperti Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu.

"Oleh itu, wajar bagi kerajaan meneliti sama ada peruntukan sedia ada boleh diguna pakai untuk menangani ancaman baharu ini yang bukan sahaja diterbitkan dalam bentuk cetakan dan penyiaran malah dalam platform media dalam talian," katanya.

Azalina berkata, langkah baharu untuk menangani penularan berita palsu amat perlu supaya orang ramai lebih bertanggungjawab dalam menghasil, menyebar dan berkongsi berita tidak sahih serta memastikan keselamatan negara terus dipelihara.

Berita Harian X