Sabtu, 27 Januari 2018 | 4:34pm
JENERAL Tan Sri Affendi Buang memeriksa perbarisan sempena Istiadat Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara di Kepala Batas hari ini. - Foto BERNAMA
JENERAL Tan Sri Affendi Buang (kiri) melihat Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara yang dianugerahkan kepada Leftenan Mohamad Horas Matupang Kardi, 25, (dua, kanan) sempena Istiadat Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara di Kepala Batas hari ini. Turut sama Leftenan Mohamad Farhan Ismail, 26, (kanan) yang menerima Piala Panglima Tentera Udara dan penerima Piala Nuri, Leftenan Mohamad Daniel Mohamad Noor, 26. - Foto BERNAMA

TUDM perkasa anggota hadapi dunia siber

KEPALA BATAS: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa bekerjasama dengan negara luar dalam perkongsian ilmu pengetahuan dan maklumat berkaitan peperangan udara dalam era dunia siber bagi menjaga keselamatan dan mengekang ancaman.

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata perkongsian ini sejajar dengan peredaran masa yang kini beralih kepada teknologi moden ketenteraan yang semakin berkembang.

Katanya, zaman kini sudah memasuki evolusi dunia ketenteraan di mana dari sudut peperangan udara ia semakin canggih.

"Atas faktor perkembangan yang pesat, TUDM kini menambah baik dan memperkasakan anggotanya dengan menitikberatkan ilmu pengetahuan dan psikologi dunia siber.

"Persekitaran sekarang bukan hanya dengan dunia mata kasar tetapi dunia siber iaitu satu persekitaran yang memberi pengaruh besar kepada negara ini yang perlu diberi perhatian.

"Malah pembelian aset pun banyak melihat kepada teknologi ini dalam usaha memantapkan pertahanan negara," katanya kepada pemberita selepas Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara (KTU), di sini, hari ini.

Affendi berkata, TUDM juga bekerjasama dengan syarikat berasaskan teknologi dunia siber untuk bertukar kepakaran dan ilmu termasuk menghantar pelatih ke Indonesia untuk menjalani latihan.

"Kita juga berkongsi ilmu pengetahuan dan kepakaran dengan Australia serta Pakistan selain membuka ruang kepada negara maju dan negara ketiga dibawa masuk ke sini untuk berkongsi ilmu pengetahuan berkaitan dunia siber," katanya.

Terdahulu, seramai 36 pelatih yang terdiri daripada 20 pelatih Kursus Asas Penerbangan Siri 79/16 dan bakinya adalah pelatih Kursus Asas Penerbangan Helikopter siri 58/16, menerima sayap penerbangan masing-masing.

Sementara itu, penerima anugerah Panglima Tentera Udara (Terbaik Keseluruhan Sayap Kaku), Leftenan Mohamad Farhan Ismail berkata, beliau amat bangga dan berterima kasih kepada keluarganya yang menyokong minatnya sehingga memperoleh anugerah itu.

"Tidak lupa kepada tenaga pengajar yang banyak membantu dan memberi semangat serta rakan-rakan yang membantu ketika susah selain berusaha bersama-sama sehingga berjaya.

"Cabaran ketika menjalani latihan ini perlu mempunyai ketahanan mental dan fizikal yang kuat kerana masa padat," katanya yang bercita-cita menjadi juruterbang jet pejuang sejak kecil.

69 dibaca
Berita Harian X