Sabtu, 27 Januari 2018 | 11:48am

Ubat dan vaksin halal - Dr Hilmi

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan menegaskan semua ubat-ubatan dan vaksin yang diberikan kepada pesakit halal dan selamat digunakan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata dakwaan menyatakan ada ubat-ubatan dan vaksin yang diberikan oleh kementerian itu mengandungi 'deoxyribonucleic acid' (DNA) babi tidak berasas.

"Dulu lagi kita dengar ada kumpulan tertentu yang antivaksin kerana mendakwa ia mengandungi DNA babi tapi sekarang ini timbul pula isu kata bukan saja vaksin, malah ubat-ubatan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan turut mengandungi perkara sama.

"Mereka yang membuat tuduhan itu tidak mendapatkan maklumat yang betul dan sahih, hanya mencari menerusi Internet saja. Mudah untuk mereka jadi 'doktor google' dan bagi maklumat tidak betul kepada masyarakat.

"Apa yang mengecewakan saya ada segelintir masyarakat kita yang percaya," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Ahli Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Sementara itu, Dr Hilmi yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, hampir 90 peratus daripada 856 klinik kesihatan sudah menubuhkan PPKK yang dapat mengukuhkan strategi menggembleng pembabitan komuniti bagi menyebarkan perkhidmatan kesihatan.

Beliau berkata, PPKK yang dilancarkan pada 1995 dan mempunyai 14,665 anggota panel itu juga bertujuan memupuk kerjasama erat antara masyarakat serta anggota kesihatan demi meningkatkan kesihatan komuniti setempat.

"PPKK memainkan peranan penting sebagai rakan kongsi kepada Kementerian Kesihatan dalam menghadapi cabaran baharu melalui perkongsian pintar, melatih masyarakat memperkasa dalam penjagaan kesihatan diri dan sekali gus mengubah tingkah laku ke arah hidup yang sihat," katanya.

Beliau berkata, bagi menyokong usaha PPKK dalam menjalankan aktiviti mereka, Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan RM5,000 bagi setiap klinik yang mempunyai panel berkenaan dan tahun lalu saja sebanyak RM4.175 juta disalurkan kepada mereka. - BERNAMA

51 dibaca
Berita Harian X