Khamis, 25 Januari 2018 | 3:28pm
MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai diiringi Pengerusi Eksekutif Kawasaki Motors Malaysia, Ahmad Faez Tan Sri Yahaya (kiri) menukarkan topi keledar yang lama pada yang baru kepada penunggang motosikal selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya anjuran Kawasaki di Plaza Tol Sungai Besi. - Foto Luqman Hakim Zubir

MIROS, DBKL buat kajian impak penggunaan 'rubber separator'

KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) akan melakukan kajian impak bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meneliti keperluan, termasuk dari aspek keselamatan, penggunaan pemisah laluan basikal dan kenderaan (rubber separator) di pusat bandar.

Pemangku Ketua Pengarah MIROS, Dr Siti Zaharah Ishak, berkata pihaknya sebelum ini tidak dipanggil untuk bersama meneliti kesesuaian penggunaan pemisah laluan itu sehingga mendapat bantahan pengguna jalan raya.

Walaupun 'rubber separator' itu sudah dibuka semula, katanya, MIROS melihat masih ada keperluan untuk meneliti secara lebih mendalam mengenai aspek dan ciri keselamatan penggunaannya di atas jalan raya.

"MIROS adalah agensi yang bertanggungjawab dalam mengkaji aspek keselamatan jalan raya. Pada awal pelaksanaannya, memang kita tidak terbabit.

"Selepas apa yang berlaku ini, MIROS boleh membuat kajian dan meneliti mengenai aspek keselamatan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Jalan Raya 2018 di Plaza Tol Sungai Besi di sini, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Mengulas lanjut ketika ditemui selepas itu, Siti Zaharah berkata, kajian mungkin mengambil tempoh sebulan sebelum sebarang kesimpulan dan dapatan diperoleh untuk rujukan pihak bertanggungjawab, termasuk DBKL.

Katanya, kajian itu turut merangkumi penggunaan peralatan lain, termasuk 'flexible barrier' yang disyorkan DBKL sebelum ini untuk dipasang di laluan basikal sepanjang 11.9 kilometer.

Isnin lalu, DBKL membuka semula 'rubber separator' di pusat bandar berikutan alat itu didakwa mengundang bahaya kepada penunggang motosikal.

Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Datuk Mahadi Che Ngah, dilapor sebagai menjelaskan bahawa pemasangan 'rubber separator' itu mengikut piawaian antarabangsa seperti yang diguna pakai di negara lain. 

Berita Harian X