Rabu, 24 Januari 2018 | 5:12pm
TAN Sri Shahrir Abdul Samad.- Foto Aizuddin Saad

Rafizi kena terima hakikat isu tanah FELDA diselesaikan

KUALA LUMPUR: Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad membidas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang masih tidak mahu menerima hakikat FELDA sudah menyelesaikan isu penukaran hak milik tanahnya di Jalan Semarak.

Shahrir turut meminta Ahli Parlimen Pandan itu supaya menyokong kebenaran dan mengutamakan kepentingan umum berbanding menumpukan kepada syarikat dalam isu tanah FELDA itu.

Katanya, Rafizi sepatutnya konsisten dengan pendirian menentang amalan kronisme dan nepotisme dalam urus tabdir sesebuah syarikat korporat seperti dilakukan FELDA.

"Kepada Rafizi, janganlah pusing daripada kedudukan yang satu ketika menyokong kebenaran, hendakkan ketelusan, benci kronisme, menyokong kepentingan awam tapi kini berpusing menyokong kronisme, nepotisme, kepentingan syarikat dan korporat serta bukan letakkan kepentingan umum sebagai perjuangan.

"Saya tahu Yang Berhormat (YB) Rafizi kini mempunyai seorang pemimpin besar yang baharu, yang terkenal dengan amalan kronisme dan nepotisme.

"Saya tidak terperanjat YB Rafizi kini sokong kepentingan syarikat lebih daripada kepentingan umum, lebih sokong kronisme dan nepotisme berbanding ketelusan," katanya menerusi FB Live portal www.bnbbc.com.my, hari ini.

Semalam, Rafizi dalam akaun Facebook mendakwa FELDA kehilangan tanah di Jalan Semarak buat selama-lamanya bagi pembangunan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang dimajukan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Rafizi turut menuduh Shahrir dan FELDA bersandiwara dalam menjelaskan segala urusan untuk mendapatkan semula tanah berkenaan daripada SPSB.

Pada Disember lalu, BH melaporkan FELDA berisiko kehilangan tanahnya bernilai lebih RM270 juta di Jalan Semarak menerusi transaksi yang diragui sejak 2015 bagi pembangunan KLVC.

Minggu lalu, FELDA berjaya mendapatkan semula tanahnya bernilai lebih RM270 juta di Jalan Semarak yang sebelum ini dipindah milik kepada Synergy Promenade tanpa kelulusan agensi itu sejak 2015.

SPSB menyerahkan semula 16 geran tanah FELDA yang dipindah milik untuk dibangunkan sebagai KLVC.

Shahrir yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) berkata, beliau dan FELDA mengutamakan ketelusan dalam setiap urusan termasuk usaha mendapatkan semula tanah berkenaan.

"Ini janji saya bagi FELDA bahawa kita tetap akan telus dalam urus tadbir yang baik dalam FELDA kerana kita tidak mahu amalan kronisme atau nepotisme dihidupkan seperti pada masa dulu.

"Kalau hendak cakap (FELDA bersandiwara), gunalah fakta, jangan suka guna cara lakonan, sindiran atau perlekeh kerana yang hendak dilekehkan itu adalah ketelusan FELDA.

"Kami yang uruskan FELDA, kami tahu dan sedar jika dalam keadaan kita telus dan ikut urus tadbir yang baik, kronisme tidak akan wujud. Kita akan dapat atasi amalan kronisme dengan amalan ketelusan," katanya.

Berita Harian X