Rabu, 24 Januari 2018 | 1:29pm
SEBAHAGIAN ahli FeMAC yang hadir pada Sesi Dialog Ahli FeMAC Bersama Pengerusi PTPK dan Ketua Pengarah JPK di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

50,000 berdoa isu pinjaman latihan kemahiran selesai

KUALA LUMPUR: Lebih 50,000 orang dijangka menyertai solat berjemaah (umat Islam) dan sembahyang mengikut kepercayaan agama masing-masing (bukan Islam) pada program Solidarity Pray For Skills Malaysia (SPSM), 23 Februari depan.

Presiden Persekutuan Pusat Bertauliah, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Malaysia (FeMAC), P Sailanathan, berkata acara itu bertujuan memohon doa agar masalah peruntukan pinjaman latihan kemahiran yang menyelubungi ahli FeMAC dapat diselesaikan.

"Upacara keagamaan masing-masing itu akan berlangsung serentak membabitkan pelatih, ibu bapa, kakitangan pusat latihan kemahiran dan pertubuhan belia masyarakat pada hari serta waktu yang sama.

"Acara ini juga akan diadakan di beberapa lokasi seluruh negara," katanya pada Sesi Dialog Ahli FeMAC Bersama Pengerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dan Ketua Pengarah JPK di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata, acara itu diharap menunjukkan kesepakatan menyelesaikan isu dan masalah melalui pendekatan kerohanian, bukan program yang mencetuskan kekecohan serta hura-hara.

Berita Harian X