Selasa, 23 Januari 2018 | 7:25pm
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua, kanan) melancarkan produk 'Fuza Bellezza' pada Program 'Building Leaders and Entrepreneurial Society '(BLESS) Zon Utara hari ini. Program dua hari itu disertai oleh 1,500 usahawan dan bakal usahawan luar bandar di Zon Utara. BLESS adalah program keusahawanan yang holistik dan komprehensif dengan menyasarkan penglibatan usahawan di semua peringkat mikro, kecil dan sederhana. - Foto BERNAMA

BLESS bantu 9,000 usahawan seluruh negara

Alor Setar: Pelaksanaan program Pembangunan Komuniti Usahawan (BLESS) oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang akan diadakan di enam zon di seluruh negara tahun ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 9,000 usahawan.

BLESS yang menjadikan zon utara sebagai lokasi pertama penganjurannya menawarkan ekosistem usahawan dan pendidikan lengkap untuk orang ramai berjinak dalam bidang keusahawanan termasuk mengembangkan perniagaan mereka.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata selain menyajikan program keusahawanan yang holistik, BLESS mempunyai ciri komprehensif, interaktif dan bersifat turun padang dengan menyasarkan pembabitan komuniti usahawan di semua peringkat.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) diiiringi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajudin Abdullah (tiga kiri) dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (kiri) bersalaman bersama sebahagian daripada 600 JKKK yang hadir pada Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UNIKL, Zon Utara bersama Memperkasa JKKK/JKKKP/JKKKK Orang Asli di Pusat Konvensyen TH Hotel. - Foto Sharul Hafiz Zam

"Program ini memaparkan ekosistem keusahawanan yang lengkap merangkumi pembangunan usahawan dan perniagaan serta sokongan perniagaan dengan ditunjangi modal insan yang ditawarkan institusi pendidikan MARA.

"Melalui BLESS, kita sasar mahu mewujudkan kesedaran supaya lebih ramai terbabit dalam bidang keusahawanan dengan membantu menyediakan kursus dan pembiayaan. Kepada usahawan sedia ada pula, kita mahu bantu mereka menembusi pasaran luar melalui penjenamaan dan pembungkusan.

"Selain bidang keusahawanan, BLESS turut memfokuskan aspek pendidikan kerana ia tidak boleh dipisahkan dengan MARA, dengan pameran pendidikan turut diadakan di sini," katanya pada sidang media di sini, hari ini.


Penerima Sijil, Pengerusi Jawatankuasa Kampung Orang Asli Batu Gajah, dari kiri, Jasmi A/L Che Dun, Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bukit Kaya Kangar dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Persekutuan Desa Putra Bayan Baru, Hallam Shah Abdul Latiff bergambar bersama sijil yang diterima selepas Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UNIKL, Zon Utara bersama Memperkasa JKKK/JKKKP/JKKKK Orang Asli di Pusat Konvensyen TH Hotel. - Foto Sharul Hafiz Zam

Secara keseluruhan, BLESS Zon Utara menyediakan 40 astaka membabitkan penyertaan usahawan daripada enam kluster perniagaan iaitu makanan dan minuman, pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, teknologi maklumat dan komunikasi serta perkhidmatan.

Selain BLESS Zon Utara yang diadakan selama dua hari bermula semalam dan disertai kira-kira 1,500 usahawan, program ini turut dirancang diadakan di Zon Timur, Selatan, Tengah, Sabah dan Sarawak sepanjang tahun ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, antara tarikan menarik di BLESS adalah usahawan berupaya memohon pinjaman daripada semua skim yang ditawarkan melalui MARA.

Katanya, secara keseluruhannya pada tahun ini, dana sebanyak RM455 juta daripada 12 skim di bawah MARA ditawarkan kepada usahawan bagi membangunkan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Antara skim berkenaan ialah program pembangunan usahawan wanita (DanaNITA); Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress (SPiKE); Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM Tekno); Program Rantaian Nilai Industri (PRiN) dan The Baron.

"Melalui BLESS, mana-mana usahawan boleh memohon pinjaman secara terus dan jika produk mereka bagus kita akan luluskan termasuk pinjaman DanaNITA yang ada dana RM35 juta dan hanya RM5 juta digunakan.

"Sehingga kini, seramai kira-kira 62,000 usahawan kita bantu," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata MARA juga merancang membuka empat lagi 'outlet' runcit MARA Digital di Melaka, Johor, Terengganu dan Kelantan dalam usaha mewujudkan rantaian perniagaan Bumiputera dalam pelbagai bidang.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) diiiringi Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Datuk Mohd Tajudin Abdullah (dua kiri) dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (kanan) menyampaikan sijil kepada peserta, Ahmad Zahari Mahmud dari Baling pada Program Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-UNIKL, Zon Utara bersama Memperkasa JKKK/JKKKP/JKKKK Orang Asli di Pusat Konvensyen TH Hotel. - Foto Sharul Hafiz Zam

Katanya, sehingga kini MARA sudah mewujudkan MARA Digital di empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Pahang yang menyediakan 110 ruang perniagaan serta memberi manfaat kepada 72 syarikat perniagaan Bumiputera.

INFO BLESS Zon Utara

* 10,000 - sasaran pengunjung

* 28 produk baharu usahawan disasar dilancarkan

* 20 premis ditawarkan kepada usahawan

* 10 produk sedia untuk dieksport

30 dibaca
Berita Harian X