Selasa, 23 Januari 2018 | 11:38am
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah.- Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Wabak jangkitan MERS-CoV tamat - KP Kesihatan

KUALA LUMPUR : Kementerian Kesihatan, hari ini, mengisytiharkan wabak jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) membabitkan jemaah berusia 55 tahun berasal dari Selangor, yang dilaporkan 1 Januari 2018 lalu, tamat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia susulan tiada kes baharu jangkitan MERS-CoV dikesan dari seluruh negara dan tiada kejadian kluster jangkitan MERS-CoV dilaporkan dalam kalangan kontak rapat jemaah terbabit.

Beliau berkata, kementerian menjalankan pemantauan tempoh jangkitan MERS-COV selama dua tempoh inkubasi penyakit, iaitu 28 hari dari hari pertama kes (24 Disember 2017) menunjukkan gejala dan tempoh pemantauan wabak berakhir pada 20 Januari lalu.

Beliau berkata, ia membabitkan seramai 75 kontak kes yang berjaya dikesan iaitu ahli keluarga serumah, saudara-mara, sahabat handai dan ahli kumpulan pakej umrah disertai jemaah.

Katanya, pengesanan itu turut membabitkan petugas kesihatan yang mengendalikan kes di klinik swasta dan hospital kerajaan serta penumpang duduk berhampiran jemaah berkenaan bagi perjalanan pulang ke Malaysia pada 23 Disember 2017.

"Daripada jumlah itu, seramai 59 orang kontak rapat diletakkan di bawah pengawasan di rumah selama 14 hari bermula dari hari terakhir kontak bertemu dengan kes.

"Semua sampel diambil dalam kalangan kontak rapat kes diuji dan dilaporkan negatif jangkitan MERS-CoV. Ini menjadikan hanya satu kes MERS-COV dilaporkan di negara kita," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, Malaysia masih berisiko mendapat jangkitan penyakit MERS-CoV dan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi jangkitan penyakit itu perlu dijalankan secara berterusan.

Katanya, agensi pelancongan khususnya yang menguruskan jemaah umrah dan haji diminta memaklumkan jangkitan MERS-CoV kepada jemaah mereka secara berterusan, terutama ketika berada di Tanah Suci.

Katanya, agensi pelancongan diminta merujuk pekeliling terkini Kementerian Pelancongan membabitkan Pekeliling Pesuruhjaya Pelancongan Bil. 1/2018 - Larangan Menganjurkan Lawatan ke Ladang Ternakan Bagi mencegah Jangkitan Penyakit MERS-CoV dan nasihat kesihatan berkaitan MERS-CoV.

"Belum ada penemuan vaksin khusus untuk memberi perlindungan kepada jangkitan MERS-CoV dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit ini. Justeru, jemaah amat digalakkan mengambil vaksin influenza bermusim dan pneumococcal bagi membantu merangsang imuniti, khususnya membabitkan sistem pernafasan mereka.

"Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi kejadian penyakit MERS-CoV dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

INFO : Maklumat terkini jangkitan MERS-CoV boleh diperoleh daripada laman sesawang http://www.moh.gov.my dan Facebook CPRC Kebangsaan (National Crisis Preparedness Response Centre).

*Gejala utama dikesan dalam kes MERS-CoV adalah jangkitan pernafasan berlaku secara akut dan serius, iaitu demam serta sukar bernafas.

Berita Harian X