Ahad, 21 Januari 2018 | 5:14pm
DATUK Seri Mah Siew Keong menunjukkan surat bantahan kepada 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) berhubung cadangan blok itu mengharamkan Bahan Api-Bio Berasaskan Minyak Sawit di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) menjelang 2021 pada sidang media di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Teluk Intan di Teluk Intan, hari ini. - Foto BERNAMA

Malaysia serah surat bantahan kepada 27 negara EU

TELUK INTAN: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi sudah menghantar surat bantahan kepada 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU) berhubung cadangan blok itu mengharamkan Bahan Api-Bio Berasaskan Minyak Sawit di bawah Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui (RED) menjelang 2021.

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata kementerian itu menghantar surat bantahan itu menerusi pejabat kedutaan negara EU di negara ini, kelmarin.

Katanya, surat bantahan itu turut disertakan dengan memorandum bantahan ditandatangani lebih 350,000 pekebun kecil sawit.

"Sebanyak 10 alasan dikemukakan dalam surat bantahan berkenaan mengenai cadangan EU itu yang didapati tidak benar dan tidak adil, terutama kepada keseluruhan kira-kira 650,000 pekebun kecil sawit di negara ini.

"Walaupun Parlimen Eropah sudah mengeluarkan resolusi, namun mereka perlu mengadakan perbincangan dengan menteri-menteri 27 anggota EU terlebih dahulu, sebelum keputusan muktamad mengenai pengharaman komoditi berkenaan dalam bahan api- bio," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menghadiri majlis pemberian cermin mata kepada warga emas di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Teluk Intan di sini hari ini.

Khamis lalu, Parlimen EU mengadakan undian peringkat awal cadangan menyingkirkan minyak sawit daripada senarai bahan api boleh diperbaharui pasca 2020, susulan kebimbangan impak komoditi itu terhadap alam sekitar, di Strasbourg, Perancis.

Dua hari sebelum itu, 2,000 petani kecil dari FELDA, Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil (NASH), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) dan Persatuan Penanam Pokok Kelapa Sawit Sarawak (DOPPA) membantah cadangan tindakan larangan biodiesel minyak sawit itu. 

Setakat Selasa lalu, seramai 320,047 pekebun kecil sawit sudah menandatangani petisyen yang menyatakan bantahan mereka terhadap tindakan yang dianggap langkah ke belakang Eropah itu.

Siew Keong yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, berkata Malaysia membantah cadangan itu kerana sistem penanaman yang diamalkan di negara ini tidak dibawa dalam perbincangan antara menteri EU berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia adalah penyokong kuat pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dan habitat semula jadi, dan dibuktikan apabila mengekalkan 54.9 peratus tanah hutan melebihi komitmen Deklarasi Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992 iaitu pada kadar 50 peratus.

Malah, katanya, kadar pengekalan hutan di Malaysia itu jauh lebih tinggi daripada kebanyakan negara Eropah seperti Perancis, Itali, Jerman dan United Kingdom.

Beliau berkata, Malaysia akan terus memberi maklumat kepada negara EU mengenai situasi penanaman sawit di negara ini, termasuk memberitahu bahawa industri minyak sawit di sini diselia dan dikawal oleh lebih 60 undang-undang dan peraturan.

"Ia termasuk Akta Pengambilan Tanah 1960, Kod Tanah Kebangsaan 1965 dan Akta Pemuliharaan Tanah Persekutuan 1960," katanya.

Siew Keong berkata, beliau sudah menemui semua duta asing di Malaysia bagi memberi penjelasan mengenai isu itu menerusi kerjasama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad.

36 dibaca
Berita Harian X