Khamis, 18 Januari 2018 | 5:53pm

SPRM terus pantau sektor awam

PUTRAJAYA: Menggantikan Pegawai Integriti Bertauliah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di unit integriti agensi kerajaan tidak menjejaskan peranan suruhanjaya itu.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini, menegaskan akan terus memantau isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa di agensi kerajaan bagi memastikan ia bersih daripada amalan terbabit.

Kenyataan itu menyebut tindakan menggantikan Pegawai Integriti Bertauliah SPRM dengan pegawai PTD di unit integriti agensi kerajaan adalah selaras dengan keputusan kerajaan untuk menubuhkan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN), baru-baru ini.

"Justeru, dengan perubahan ini, SPRM mewujudkan unit pemantauan khas bagi memantau isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa di agensi kerajaan yang berisiko tinggi, sederhana dan rendah.

"Selaras dengan fungsi pencegahan di bawah akta SPRM, suruhanjaya akan terus memastikan tadbir urus agensi kerajaan bebas daripada isu penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa dari semasa ke semasa," katanya.

Berita Harian X