Selasa, 16 Januari 2018 | 5:08pm
NORASHIKIN Datuk Ismail (tengah) bersama duta dan sebahagian selebriti yang terlibat dalam program SL1M ketika Sidang Media Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) di Mines Resort City, Seri Kembangan. - Foto Rosela Ismail

SLIM Zon Tengah sedia 15,000 peluang pekerjaan

SERI KEMBANGAN: Edisi sulung Program Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) 2018 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada 24 dan 25 Februari depan menyediakan sekurang-kurangnya 15,000 peluang pekerjaan kepada pencari kerja.

Peluang pekerjaan itu disediakan 200 syarikat termasuk 26 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada graduan dan pencari kerja pelbagai peringkat kelulusan.

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail, berkata SL1M 2018 yang akan bermula di Zon Tengah itu adalah yang terbesar pernah diadakan dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Program anjuran Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu dijangka dihadiri lebih 30,000 pengunjung.

"Saya berharap ramai pencari kerja dan orang muda akan hadir untuk merebut peluang pekerjaan yang disediakan.

"Istimewanya pada penganjuran kali ini, Perdana Menteri akan mengumumkan sesuatu yang berimpak tinggi untuk golongan muda," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Norashikin berkata, Majlis Anugerah bagi mengiktiraf semua GLC yang konsisten menjayakan SL1M sejak 2011 juga akan berlangsung pada majlis perasmian itu.

Beliau turut mengumumkan, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) bersetuju menyumbang sebuah Myvi edisi terbaru untuk dijadikan hadiah utama cabutan bertuah yang akan disampaikan Perdana Menteri pada majlis perasmian.

Selain PERODUA Myvi, pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung termasuk motosikal, telefon bimbit dan barangan elektrik.

Program SL1M turut menyediakan ceramah kerjaya, klinik resume, kupon makan untuk pengunjung terawal, pameran dan jualan kenderaan serta pelbagai lagi.

Bagi menarik kehadiran pengunjung, program itu turut menampilkan selebriti tempatan untuk memberikan motivasi dan inspirasi kepada graduan serta pencari kerja.

Antara artis yang hadir termasuk Faizal Tahir, Kumpulan Zero, Kumpulan Bocey, Wany Hasrita, Tajul, Haqiem Rusli, Hael Husaini, Aiman Tino, Sufian Suhaimi dan AG.

Sesi motivasi khas bersama usahawan orang kurang upaya (OKU), Sukur Rahim dan Imam Muda Asyraf turut disediakan.

Pengunjung yang membawa anak pula akan dihiburkan dengan maskot Didi & Friends serta Umar & Hana.

Sebagai kemudahan pengunjung, pengangkutan awam percuma disediakan daripada Nadi Putra di KTM Serdang dan Putrajaya Sentral serta pemberian kupon diskaun untuk GrabCar.

Berita Harian X