Selasa, 16 Januari 2018 | 5:05pm
DATUK Seri Irmohizam Ibrahim.- Foto Faiz Anuar

Mahfuz wajar dikenakan tindakan ikut Akta Hasutan

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menggunakan Akta Hasutan 1948 (Pindaan 2017) ke atas mereka yang sering melakukan provokasi dan meluaskan sentimen benci kerajaan, termasuk mempersendakan institusi diraja.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata kebelakangan ini keangkuhan pemimpin Pakatan Harapan (PH) semakin melampaui batas, dengan terbaru Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menunjukkan kebiadapannya terhadap Sultan Pahang.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen, Mahfuz seharusnya tahu kedudukan Raja-Raja Melayu dan lebih arif mengenai Perlembagaan Malaysia.

"Dalam hal ini, beliau sebenarnya sudah mengabaikan prinsip Rukun Negara yang didukung oleh semua rakyat Malaysia sejak merdeka," katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rakaman video Ahli Parlimen itu yang mempersendakan Sultan Pahang dalam ceramah politik dan kini menjadi viral di media sosial.

Irmohizam berkata, tindakan Mahfuz yang tanpa segan silu menghina institusi diraja itu mencerminkan sikap sebenar pemimpin pembangkang, sekali gus bakal meninggalkan contoh yang tidak baik kepada generasi akan datang.

"Beliau seharusnya memohon keampunan daripada Sultan Pahang atas perbuatannya itu," katanya.

Berita Harian X