Selasa, 16 Januari 2018 | 4:48pm
Phua Tai Neng (kanan) bersama Nigel Wong pada sidang media MATTA Fair 2018 di Wisma MATTA. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

MATTA Fair 2018 dijangka lebih meriah

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menerima 1,324 tempahan gerai bagi penganjuran MATTA Fair di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sekali gus menjadi penyertaan terbanyak bagi acara kali ke-45 pada tahun ini.

Setiausaha Agung Kehormatnya, Nigel Wong, berkata penganjuran MATTA Fair yang akan berlangsung pada 16 hingga 18 Mac depan meningkat dari pelbagai aspek termasuk penyertaan daripada agensi pelancongan, ruang pameran dan tawaran istimewa daripada pertubuhan pelancongan antarabangsa termasuk India, Turki, New Zealand dan Australia.

"Kita jangka lebih ramai agensi pelancongan akan turut serta menawarkan pakej yang bernilai dan berbaloi kepada pengunjung. Sehingga kini sebanyak 215 agensi sudah mendaftar dan dijangka bertambah termasuk daripada ahli MATTA sendiri.

"Sebanyak 1,324 gerai dengan keluasan 29,000 kaki persegi membabitkan tujuh dewan juga sudah ditempah. Jumlah itu meningkat berbanding 1,315 gerai pada penganjuran September tahun lalu," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MATTA, Phua Tai Neng.

Sementara itu, Tai Neng berkata, sepanjang penganjuran MATTA Fair, pelancongan domestik (dalam negara) masih berada di kedudukan pertama pilihan pengunjung.

"Daripada rekod penganjuran tahun lalu, pelancongan domestik kekal pada kedudukan pertama diikuti Jepun, China, United Kingdom, Korea Selatan, Turki, Arab Saudi, Taiwan, Sepanyol dan Thailand.

"Memandangkan rekod sebelum ini memperlihatkan Jepun menjadi destinasi pilihan pengunjung bagi pelancongan antarabangsa, kami dapat menarik mereka menjadi rakan niaga bersama bagi penganjuran MATTA Fair kali ini untuk mempromosikan beberapa destinasi terpilih pengunjung.

"Tahun ini kami juga mendapat kerjasama rakan niaga termasuk dari syarikat penerbangan rasmi, Malaysia Airlines Bhd (MAB); taman tema rasmi, Desaru Coast dan Legoland; pelayaran rasmi, Royal Carribean International dan syarikat rasmi, pengurup wang berlesen Merchantrade Asia," katanya yang mengakui penganjuran itu berupaya mengukuhkan kedudukan dengan kerjasama rakan niaga bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Beliau berkata, bermula Mac ini, MATTA turut mengumumkan MAB sebagai rakan niaga syarikat penerbangan rasmi menggantikan syarikat penerbangan Emirates pada tahun sebelumnya.

"Banyak syarikat penerbangan menghantar cadangan dan akhirnya kami memilih MAB atas prestasi dan kandungan cadangan menjadi syarikat penerbangan terbaik di negara ini," katanya.

Tai Neng berkata, MATTA turut menyediakan ruang khas untuk agensi umrah yang diletakkan di dewan 1M membabitkan 60 gerai.

Katanya, umrah juga menjadi antara pilihan pengunjung bagi tahun sebelum ini dan pihaknya turut menyediakan 60 gerai untuk agensi umrah mempromosikan pakej mereka.

"Selain itu, dewan yang menempatkan agensi pelancongan antarabangsa diletakkan di dewan 1 hingga 3 termasuk lorong laluan membabitkan 1,027 gerai, bagi pelancongan domestik sebanyak 237 gerai dikhaskan dalam dewan 4 dan 5 dengan membabitkan 237 gerai.

"Penganjuran kali ini lebih menarik dengan pelbagai peraduan untuk pembeli, permainan realiti dan aktiviti menarik yang disediakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

"Pengunjung dinasihat menggunakan pengangkutan awam, malah kementerian juga kini sedang bekerjasama dengan GrabCar untuk menawarkan khidmat ke PWTC pada hari berkenaan," katanya.

Bagi keterangan lanjut, orang ramai boleh mengikuti laman sosial Facebook, @mattafairkualalumpur atau Twitter @MATTA_FAIR.

Berita Harian X