Selasa, 16 Januari 2018 | 2:40pm
SHAHRIR pada sidang media berkaitan perkembangan terbaru berkaitan Tanah Felda di Jalan Semarak di Menara Felda. - Foto BERNAMA

'Penyelesaian isu tanah FELDA bukan sandiwara' - Shahrir

KUALA LUMPUR: Isu penukaran tanah FELDA dekat Jalan Semarak di sini, bukan sandiwara atau lakonan seperti didakwa segelintir pihak.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, menegaskan isu terbabit adalah benar dan FELDA berjaya memperoleh semula hak milik ke atas tanah berkenaan.

"Ada yang berkata ini lakonan, ini keajaiban, saya tegaskan ini bukan lakonan di mana tanah milik FELDA dipindah milik kepada pemaju oleh pemaju itu sendiri.

"Namun, atas sikap keterbukaan dengan prinsip amanah dalam pentadbiran, kita berjaya selesaikan dalam tempoh 35 hari," katanya ketika berucap pada perhimpunan membantah sekatan Kesatuan Eropah (EU) ke atas minyak sawit negara di sini, hari ini.

Shahrir berkata, FELDA sering dijadikan sasaran dan menjadi mangsa fitnah serta tohmahan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, apa sahaja tindakan yang dilakukan FELDA sehingga memperoleh semula tanah berkenaan adalah untuk mempertahankan dan melindungi kepentingan agensi itu.

"FELDA sering dijadikan sasaran kerana kita kuat, kerana kita betul. Ini bukan soal seperti mereka (pihak tidak bertanggungjawab) tuduh kita," katanya.

BH hari ini melaporkan FELDA berjaya mendapatkan semula tanahnya bernilai lebih RM270 juta di Jalan Semarak yang sebelum ini dipindah milik kepada pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) tanpa kelulusan agensi itu sejak 2015.

Penyerahan semula tanah itu berlaku selepas 26 hari BH mendedahkan FELDA berisiko kehilangan tanah miliknya bagi tujuan pembangunan pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

46 dibaca
Berita Harian X