Isnin, 15 Januari 2018 | 3:14pm
PRESIDEN Majlis Belia Malaysia (MBM) Ghadafi Jamal Jamaludin (tengah) dan Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Mohd Fadzli Hasan bersama ahli MBM dan MBFM menyuarakan bantahan terhadap tindakan Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot minyak sawit, ketika sidang media di Menara Felda. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

MBM, MBFM sokongan kerajaan bantah sekatan EU

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), hari ini sepakat membantah sekeras-kerasnya diskriminasi sekatan produk minyak sawit di Negara Asia oleh Kesatuan Eropah (EU).

Presiden MBFM, Muhammad Fadzli Hasan, berkata tindakan itu, jika dilaksanakan akan memberi kesan buruk kepada industri sawit, selain menjejaskan punca pendapatan dan kebajikan lebih 600,000 pekebun kecil tanaman itu di Malaysia.

Katanya, selain pekebun kecil, tempias sekatan itu akan dirasai 112,635 peneroka FELDA yang menyumbang kira-kira 3.3 juta tan pengeluaran sawit setahun, sekali gus mempengaruhi kestabilan ekonomi negara.

"Kelapa sawit adalah antara penyumbang utama eksport negara dengan nilai lebih RM60 billion setahun dan umum mengetahui Malaysia adalah antara pengeluar utama global selain Indonesia.

"Justeru, MBFM berpendapat, resolusi Parlimen Eropah pada April tahun lalu yang mahu melakukan sekatan terhadap produk sawit Asia adalah satu tindakan diskriminasi," katanya pada sidang media di Menara Felda, di sini, hari ini.

Muhammad Fadzli berkata, MBFM menyokong tindakan Malaysia membentuk gabungan bersama Indonesia dan Thailand untuk bertindak balas terhadap ancaman EU.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua'mar Ghadafi Jamal Jamaludin, menyifatkan resolusi sekatan produk sawit EU dengan mengecualikan biofuel kelapa sawit daripada tenaga diperbaharui adalah langkah terkebelakang dalam hubungan perdagangan antara negara itu dengan Malaysia.

"Selain memberi kesan kepada hubungan dagangan kedua-dua negara, ia juga bercanggah dengan komitmen EU kepada Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).

"MBM menyarankan kerajaan supaya mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang disyorkan tanpa menjejaskan alam sekitar dan mengekalkan pengeksport utama minyak sawit demi memastikan pekebun kecil tidak hilang mata pencarian," katanya.

Beliau berkata, MBM turut berharap kerajaan akan mengambil apa juga tindakan bagi melindungi hak 600,000 petani kecil dan menjamin masa depan sektor minyak sawit dalam jutaan rakyat Malaysia daripada belengu kemiskinan.

Dalam pada itu, Mua'amar berkata, satu memorandum akan dihantar MBM dan MBFM kepada 17 kedutaan EU di ibu negara, esok.

15 dibaca
Berita Harian X