Isnin, 15 Januari 2018 | 10:54am
PENDUDUK Kampung Pulau Keladi Zaleha Ahmad termenung mengenangkan nasib selepas rumahnya dilanda banjir ketika tinjauan. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir Pahang menurun

KUANTAN: Cuaca baik sejak semalam menyebabkan bilangan mangsa banjir di Pahang menurun kepada 1,438 orang daripada 367 keluarga setakat jam 9 pagi ini, berbanding 1,532 mangsa daripada 396 keluarga, malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata semua mangsa

ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) di Pekan dan Rompin.

"Pekan kekal daerah paling ramai mangsa iaitu 1,21 orang daripada 307 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS.

"PPS berkenaan adalah SK Sinar Mutiara yang menempatkan seramai 375 mangsa daripada 94 keluarga; SK Permatang Keledang (375 mangsa, 94 keluarga); SMK Peramu Jaya (83 orang, 26 keluarga); SK Temai (93 orang, 24 keluarga) dan Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang, 22 keluarga).

"Selain itu, SK Merchong Jaya membabitkan 86 mangsa daripada 16 keluarga; Pusat Pemindahan Kampung Lamir (55 orang, lapan keluarga); SK Sri Biram (69 orang, 20 keluarga); Dewan Serbaguna

Tanjung Pulai (39 orang, 14 keluarga) dan SK Acheh (sembilan orang, dua keluarga)," katanya di sini, hari ini.

Zainal berkata, jumlah mangsa di Rompin turun iaitu 227 mangsa daripada 60 keluarga ditempatkan di tiga PSS.

Tiga PPS berkenaan adalah di Balai Raya Setajam yang menempatkan 127 orang daripada 33 keluarga; SK Tekek (63 orang, 15 keluarga) dan Dewan Serbaguna Desa Wawasan Kampung Pianggu (37 mangsa, 12 keluarga)," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 9, bacaan paras air di dua sungai di negeri ini melepasi tahap bahaya atau merah yang boleh menyebabkan kawasan sekitar dinaiki air.

Dua sungai berkenaan adalah Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dengan bacaan 10.42 meter dan Kuala Sungai Chini, 14.99 meter.

Berita Harian X