Ahad, 14 Januari 2018 | 3:38pm
PENGERUSI Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib (kiri) menerima buku stratetegic planing 2018 daripada Timbalan Setiausaha Agung Majlis Aids Malaysia (MAC), Elisha Kor Krishnan (empat kiri) pada Majlis Temu Murni Bersama Komuniti Yang Disayangi di Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Ghazali Kori

Seks bebas antara penyumbang peningkatan HIV/AIDS

KUALA TERENGGANU: Jika sebelum ini penyakit HIV/AIDS merebak kerana perkongsian jarum suntikan oleh penagih dadah, trend itu berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila penyakit itu dikesan menular akibat kegiatan seks bebas.

Timbalan Setiausaha Agung Majlis Aids Malaysia (MAC), Elisha Kor Krishnan, berkata trend penularan HIV/AIDS di negara ini naik mendadak kepada kira-kira 40 peratus tahun lalu daripada 2,864 kes jangkitan HIV/AIDS melalui hubungan seks direkodkan sepanjang 2016.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 1,311 kes jangkitan berlaku kerana hubungan seks antara pasangan lelaki dan wanita, manakala 1,553 kes membabitkan pasangan homoseksual atau hubungan sejenis.

Justeru beliau berkata, MAC kini bergerak lebih agresif untuk memberi lebih kesedaran kepada orang ramai terutama pengamal homoseksual mengenai bahaya jangkitan HIV/AIDS dalam usaha mengawal wabak berkenaan daripada terus meningkat.

Katanya, kesedaran kerajaan negeri Terengganu yang mendekati dan memurnikan golongan 'mak nyah' atau pondan di negeri ini diharap dapat menyuntik satu kesedaran kepada pihak lain untuk melakukan perkara sama, seterusnya mencegah aktiviti seks bebas yang boleh menyumbang kepada peningkatan pesakit HIV/AIDS.

"Kebelakangan ini amat membimbangkan apabila trend HIV/AIDS merebak bukan lagi daripada perkongsian jarum suntikan oleh penagih dadah, tetapi lebih banyak jangkitan akibat aktiviti seks bebas antara pasangan kekasih atau suami isteri, mahupun pasangan homoseksual dan biseksual.

"Oleh itu inisiatif kerajaan negeri ini satu usaha yang sangat baik bukan sahaja dalam aspek memajukan ekonomi golongan mak nyah ini yang sering terpinggir dalam mendapat peluang pekerjaan, tetapi lebih penting lagi dalam aspek penjagaan kesihatan," katanya selepas Majlis Temu Murni Bersama Komuniti Yang Disayangi di sini, hari ini.

Lebih 100 golongan 'mak nyah' di negeri ini, selain dari Pahang dan Kelantan hadir pada majlis berkenaan.

Elisha berkata, golongan berusia 20 hingga 29 tahun paling tinggi terjebak dengan penyakit HIV/AIDS iaitu mewakili 40 peratus, diikuti golongan berusia antara 30 hingga 39 tahun (31 peratus); 40 tahun hingga 49 tahun (16 peratus); 50 tahun (sembilan peratus); 13 hingga 19 tahun (tiga peratus) dan satu peratus mewakili golongan bawah 19 tahun.

Beliau berkata, dalam jelajah MAC ke seluruh negara, pihaknya turut memberi kesedaran dan pendidikan mengenai penyakit berjangkit lain yang kurang diberi perhatian oleh orang ramai selain HIV/AIDS seperti Hepatitis C, Tuberculosis (TB) dan penyakit kelamin seperti 'Syphilis' dan 'Gonorrhoea' yang juga perlu dielakkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Berita Harian X