Sabtu, 13 Januari 2018 | 2:33pm
ROHANI (depan empat dari kanan) dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (depan tiga dari kanan) bergambar bersama graduan ketika hadir merasmikan Majlis Konvokesyen Empower ECER Maran di Dewan UMNO Pekan Tajau. - Foto Muhd Asyraf Sawal

PM lancar logo dan portal TMW 2018, Rabu ini

MARAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melancarkan logo jenama dan portal Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW 2018) di Putrajaya, Rabu ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata logo jenama dan portal itu kemudiannya akan diguna pakai untuk mempromosi TMW 2018 ke seluruh negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri yang akan mengadakan pelbagai program berkaitan TMW 2018 juga digalakkan menggunakan logo jenama berkenaan.

"Kita juga minta semua pihak termasuk kerajaan negeri menggunakan logo jenama TMW 2018 dalam program berkaitan pembangunan wanita termasuk keusahawanan.

"Mengenai portal TMW 2018, kita akan memasukkan pelbagai maklumat dan aktiviti berkaitan pembangunan wanita sekali gus boleh menjadi rujukan kepada pelbagai organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) mengenai pencapaian wanita di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen dan Juara Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Maran, dekat sini, hari ini.

Seramai 400 peserta Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dan 15 peserta Latihan Akademik menerima sijil masing-masing.

Rohani berkata, kementeriannya menetapkan sasaran 59 peratus penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan pada 2020 seperti ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-sebelas (RMK-11).

"Sekarang ini kita baharu mencapai 56 peratus penyertaan wanita dalam pasaran pekerjaan dan kita yakin dapat mencapai sasaran berkenaan menerusi kerjasama semua pihak seperti ECERDC.

"Saya dimaklumkan lebih 90 peratus daripada peserta Empower ECER adalah wanita dan mereka ini mengikuti latihan kemahiran keusahawanan bagi meningkatkan pendapatan bulanan mereka," katanya.

Berita Harian X