Khamis, 11 Januari 2018 | 9:16pm
Siti Anisha Nadhirah, 14 anak sulung kepada Ahmad Fakhrurazi Shafie, 45 yang maut dalam kejadian kebakaran dirumahnya kelihatan sedih atas permergian ayahnya di rumahnya Kampung Kuala Ibai. - Foto Ghazali Kori

Pesan Apaa jadi pegangan

KUALA TERENGGANU: "Saya akan terus berpegang pada pesanan Apaa (panggilan ayah) supaya menjadi contoh kepada adik-adik dan menjaga keluarga."

Demikian luahan anak sulung Allahyarham Ahmad Fakhrurazi Shafie, Siti Anisha Nadhirah Ahmad Fakhrurazi, 14, ketika ditemui selepas upacara pengebumian bapanya, petang tadi.

Ahmad Fakhrurazi, yang juga Timbalan Ketua Cawangan UMNO Kuala Ibai, meninggal dunia pagi tadi, dipercayai akibat sesak nafas ketika menyelamatkan anak bongsunya dalam kebakaran rumahnya di Kampung Kuala Ibai, di sini, pagi tadi.

Walaupun nasihat itu bukanlah pesanan terakhir Allahyarham bapanya, Siti Anisha Nadhirah berkata,

sudah menjadi tanggungjawabnya sebagai anak sulung untuk mempamerkan contoh terbaik buat tiga adiknya, selain menjaga ibunya yang kini hamil empat bulan.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Datuk Razali Ismail itu berkata, pesanan itu masih segar di ingatannya kerana nasihat sedemikian sentiasa meniti di bibir Allahyarham bapanya ketika mereka bersama.

"Apaa seorang yang sangat mengambil berat perihal kami empat beradik, justeru Apaa sentiasa memberikan nasihat yang berguna kepada kami sebagai motivasi.

"Walaupun Apaa kini sudah tiada, saya akan terus berpegang kepada pesanan itu supaya dapat menjadi contoh kepada adik-adik," katanya.

Menceritakan detik sebelum kejadian malang menimpa bapanya itu, Siti Anisha Nadhirah berkata, mereka sekeluarga sempat menikmati sarapan pagi bersama sebelum keluar ke sekolah.

"Apaa tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kami sekeluarga sempat makan 'nugget' goreng yang disediakan ibu, namun tidak banyak berbual.

"Ketika berada di sekolah, bapa saudara datang mengambil untuk pulang kerana rumah kami terbakar, namun dia tidak memaklumkan bahawa Apaa sudah tiada.

"Saya hanya mengetahui perkara itu sebaik tiba di rumah," katanya.

Berita Harian X