Khamis, 11 Januari 2018 | 2:57pm
RUSHIDAH (dua dari kiri) ditenangkan oleh anggota keluarga pada pengebumian anak tunggalnya Ahnaf Hanafi Mohd Haniff, 13 bulan, di Tanah Perkuburan Islam Bukit Ubi, Kuantan, hari ini. - Foto BERNAMA
MOHD Haniff diiringi Rushidah memangku jenazah anaknya, Ahnaf Hanafi selepas solat jenazah di Surau Al Ikhwan untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi, Kuantan. - Foto Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
JENAZAH Ahnaf Hanafi disembahyangkan oleh ahli keluarga dan orang ramai di Surau Al Ikhwan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi, Kuantan. - Foto Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

'Mimpi anak dijemput'

KUANTAN: Mimpi Rushidah Abdullah melihat anak tunggalnya, Ahnaf Hanafi Mohd Haniff, dijemput oleh seseorang menjadi petanda perpisahan dengan bayi berusia 13 bulan itu.

Ahnaf Hanafi ditemui tidak sedarkan dalam buaian di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, dekat sini dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di Klinik Kesihatan Indera Mahkota 5, kira-kira jam 2.30 petang semalam.

Bapa mangsa, Mohd Haniff Selaman @ Sulaiman, 28, berkata Rushidah, 30, ada menyebut mengenai mimpinya sejak kebelakangan ini, namun menganggapnya sebagai perkara biasa.

"Saya sangka ia cuma mainan tidur dan berharap tiada perkara buruk berlaku.

"Dalam keadaan ini, kami reda dan menerima ketentuan Allah.

"Anak kami seperti biasa ketika dihantar pagi semalam. Dia aktif, berselera dan tidak mengalami masalah kesihatan, malah sepanjang dijaga di rumah pengasuhnya sejak sebulan lalu pun tidak ada masalah.

"Punca kematian belum diketahui dan tiada kesan penderaan ditemui. Sel darah anak sudah diambil untuk dianalisis manakala keputusan dijangka diketahui dalam tempoh dua bulan," katanya,


AHNAF Hanafi yang berusia 13 bulan meninggal dunia ketika dalam jagaan di rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15, semalam.

Beliau ditemui media di kediaman keluarganya di Taman LKNP Bukit Setongkol, di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah Ahnaf Hanafi yang disempurnakan dan disembahyang di Surau Al Ikhwan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi kira-kira jam 11 pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi keluarga dan dan Rushidah dilihat memeluk erat jenazah anaknya dalam perjalanan dari surau berkenaan ke tanah perkuburan.

Semalam, Ahnaf Hanafi dihantar ibu bapanya ke rumah pengasuh pada jam 8.10 pagi sebelum pengasuh dikenali sebagai Alya menghubungi kira-kira jam 2.30 petang dan memberitahu bayi itu berada di klinik kesihatan serta tidak sedarkan diri.

Polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin, berkata siasatan mendapati pengasuh berkenaan tidak mendaftarkan kediamannya sebagai Taman Asuhan Kanak-Kanak di rumah seperti disyaratkan mengikut Akta Taska 1984 sekiranya sesebuah rumah ada menjaga kurang 10 kanak-kanak.

"Mengikut maklumat awal, tiga kanak-kanak lain turut dijaga pengasuh berkenaan dan ketika siasatan di lokasi, jirannya memaklumkan rumah itu dikunci manakala pengasuh berkenaan tidak kelihatan sejak semalam.

"Mengikut rekod, pengasuh itu tidak pernah mengikuti kursus asuhan kanak-kanak atau Kursus Asuhan PERMATA (KAP) yang diwajibkan oleh JKM," katanya.

Berita Harian X