Ahad, 7 Januari 2018 | 8:50pm
PENGERUSI Parti Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di IDCC . - Foto Hafiz Sohaimi

Semua parti tak puas hati - Dr Mahathir

SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata semua parti dalam gabungan itu tidak berpuas hati dengan pengagihan 165 kerusi Parlimen di Semenanjung untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Saya tidak cakap satu parti... semua parti tak puas hati. Bila semua parti tak puas hati, bermakna kita adil kepada semua. Tidak ada seorang saja yang tidak gembira.

"Ada yang tak puas hati (kerana) tak cukup banyak, ada yang tak puas hati tak dapat kawasan. Macam-macam la," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen IDCC di sini, hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ditanya mengenai jumlah kerusi yang paling banyak diagihkan kepada PPBM, selepas beliau menyatakan ada pihak tidak berpuas hati dengan pengagihan itu ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan petang tadi.

Mengenai Parti Amanah Negara mendapat kerusi paling sedikit, Dr Mahathir berkata ada sebab mengapa kerusi diagihkan kepada parti itu sedikit dan meminta wartawan bertanya kepada kepemimpinan parti berkenaan.

Dr Mahathir juga enggan menjawab soalan apa pengorbanan yang dibuat oleh Parti Amanah Negara dalam penentuan kerusi Parlimen di Semenanjung, sebaliknya berkata ia adalah hal dalaman.

Ditanya jika pemilihannya sebagai calon Perdana Menteri akan menimbulkan polemik terutama dalam kalangan penyokong tegar Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata, perkara itu akan ditangani jika timbul bantahan.

Terdahulu, Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah, mengumumkan pembahagian 165 kerusi Parlimen di Semenanjung yang menyaksikan PPBM menerima kerusi terbanyak iaitu 52 kerusi, diikuti PKR (51), DAP (35) dan Parti Amanah Negara (27).

Pengagihan kerusi menimbulkan tidak puas hati perwakilan Parti Amanah Negara dari Johor yang memboikot konvensyen itu selepas dimaklumkan hanya mendapat dua kerusi Parlimen iaitu Parit Sulong dan Pulai walaupun mereka memohon lima kerusi Parlimen di negeri itu.

Berita Harian X