Jumaat, 5 Januari 2018 | 4:47pm

MERS-CoV: Elak kunjungi ladang unta

ALOR GAJAH: Kementerian Kesihatan mengulangi nasihat supaya syarikat pengendali pakej umrah dan ziarah tidak menganjurkan lawatan ke ladang unta bagi mengelak risiko jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Menterinya, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata setakat ini bukti saintifik menunjukkan haiwan terbabit adalah pembawa virus MERS-CoV.

Katanya, kementerian percaya kes jemaah umrah dijangkiti virus MERS-CoV disebabkan faktor lawatan ke ladang unta, selain meminum susu unta yang tidak dimasak.

"Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga sudah mengeluarkan satu kenyataan dan nasihat supaya jangan melawat ladang unta atau jadikan ia pakej disediakan agensi (umrah) serta meminum susu mentah yang tidak dimasak.

"Setakat ini, kita sudah ada dua rekod kes sama membabitkan pesakit melawat ladang unta dan meminum susu unta tidak dimasak serta kemudian mempunyai simptom jangkitan MERS-CoV," katanya selepas mengadakan lawatan kerja di Hospital Alor Gajah, di sini, hari ini.

Mengulas keadaan seorang jemaah umrah Malaysia disahkan dijangkiti virus itu pada Isnin lalu, Subramaniam berkata, pesakit itu kini dalam keadaan stabil.

"Sebelum ini, kementerian sudah mengeluarkan kenyataan dengan menasihati jemaah supaya mengelak berkunjung ke ladang unta, tetapi saya dapati amalan itu masih berterusan," katanya.

Selasa lalu, BH melaporkan seorang jemaah umrah berusia 55 tahun dari Selangor disahkan dijangkiti virus MERS-CoV, selepas tiba di Malaysia pada 23 Disember lalu.

Jemaah itu dikesan mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki.

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam (dua dari kanan) beramah mesera dengan orang ramai sempena lawatan kerja ke Hospital Alor Gajah. - Foto Rasul Azli Samad
Berita Harian X