Jumaat, 5 Januari 2018 | 1:40pm

'Bagai makan di restoran terapung'

BUTTERWORTH: Banjir kilat yang melanda Pulau Pinang hari ini, tidak menghalang sepasang suami isteri meneruskan perniagaan nasi campur di Mak Mandin, di sini.

Naina Mohamad Mustaffa, 67, dan isterinya, Umi Kalsom A Bakar, 62, sudah memasak lauk-pauk sejak awal pagi tadi biarpun menyedari hujan lebat berterusan.

"Saya dan isteri tetap meneruskan perniagaan hari ini kerana sudah memasak.

"Alhamdulillah, walaupun gerai dinaiki air hingga buku lali, masih ramai yang datang seolah-olah makan di restoran terapung pula," katanya berseloroh ketika ditemui di sini, hari ini.

Naina Mohamad membuka gerai makanan seawal jam 4.30 pagi sehingga 3 petang berikutan kebanyakan pelanggan adalah pekerja kilang sekitar kawasan itu.

Katanya, banjir kali ini tidak seteruk bencana yang melanda negeri itu pada November tahun lalu.

"Seingat saya, kami sudah melalui banjir lebih 10 kali di kawasan ini tahun lalu dan syukur kerana banjir kali ini tidak seteruk dulu.

"Antara punca banjir kilat ini adalah pembangunan pesat dan sistem perparitan yang tidak diurus dengan baik," katanya.

Hujan lebat yang melanda Pulau Pinang sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan utama di kawasan pulau dan Seberang Perai mula dinaiki air antara 0.07 ke 0.3 meter.

Sehingga kini, dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka iaitu di Dewan Masjid At Taqwa, Mak Mandin, dan di Kubang Semang, Bukit Mertajam.

KEADAAN gerai makanan yang ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan berlakunya banjir kilat di Sekitar kawasan Mak Mandin, Butterworth. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
KEADAAN gerai makanan yang ditenggelami air berikutan hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan berlakunya banjir kilat di Sekitar kawasan Mak Mandin, Butterworth. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal
Berita Harian X