Khamis, 4 Januari 2018 | 8:44pm
IBRAHIM Ismail (tiga kiri) merasmikan pra pelancaran dan sidang media 'Pets Lover Fiesta' di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.- Foto Aswadi Alias

Kompleks Kraf KL diroboh Jun depan

KUALA LUMPUR: Bangunan Kompleks Kraf Kuala Lumpur, yang sudah lebih dua dekad bertapak di tengah pusat ibu kota, akan dirobohkan Jun ini bagi memberi laluan pada pembinaan projek Mass Rapid Transit (MRT).

Kompleks yang menjadi satu mercu tanda dan tarikan pelancong dalam dan luar negara itu akan dipindahkan ke Bangunan Sultan Abdul Samad selepas kerja pengubahsuaian bangunan itu selesai.

Ketua Pengarahnya, Ibrahim Ismail, berkata pembinaan projek pengangkutan awam itu sedang berjalan dan laluannya akan memasuki kawasan bawah tapak kompleks itu.

"Kompleks ini akan dirobohkan selepas kita berpindah sepenuhnya ke bangunan baharu di antara Jun hingga September ini," katanya ketika ditemui selepas melancarkan acara Pets Lover Fiesta, hari ini.

Bangunan Tun Abdul Samad yang terletak berhadapan dengan Dataran Merdeka itu juga antara lokasi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Walaupun ruangnya agak terhad, kita tetap menyediakan ruang pameran, muzium kraf tangan, jualan kraf buatan tangan, selain pejabat kakitangan," katanya.

Ibrahim berkata, acara terakhir yang akan berlangsung di premis itu Hari Kraf Kebangsaan, yang akan diadakan pada April ini.

Sementara itu, acara Pets Lover Fiesta anjuran Karlrush Catz Gallery dengan kerjasama Kelab Kucing Malaysia, berlangsung selama sembilan hari bermula 3 Februari ini.

Acara itu bakal menghimpunkan lebih 500 haiwan peliharaan dan pelbagai barangan kraf, selain pelbagai aktiviti menarik seperti pertunjukan fesyen bermotifkan haiwan peliharaan.

91 dibaca
Berita Harian X