Khamis, 4 Januari 2018 | 5:50pm
GAMBAR fail Allahyarham Datuk Zainalabidin

Bekas Speaker DUN Johor meninggal dunia 

JOHOR BAHRU: Bekas EXCO kerajaan negeri dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Zainalabidin Mohamed Zin, 78, meninggal dunia di kediamannya di Jalan Sri Mahligai, Kampung Nong Chik, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit dan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Johor, meninggal dunia pada jam 9.05 pagi kerana kanser usus.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Khamsiah Mohamad, 73, serta empat anak dan 12 cucu.

Khamsiah berkata, Allahyarham beberapa kali mendapatkan rawatan akibat kanser usus di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan baru keluar hospital lima hari lalu.

"Allahyarham tidak pernah melakukan pembedahan penyakit kanser usus yang dihidapinya," katanya ketika ditemui.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin di sini, selepas Zuhur.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam satu kenyataan, mewakili kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

"Allahyarham seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan tugas, banyak menabur khidmat bakti dan berjasa kepada Johor, selain sumbangan dalam politik selaku bekas ADUN Rengit," katanya.

Zainalabidin memegang jawatan ADUN dan EXCO Johor pada 1990 hingga 1999, diikuti Speaker DUN Johor pada 1999 hingga 2004.

Berita Harian X