Rabu, 3 Januari 2018 | 5:38pm

'Tak terhad di Hudaibiyah'

KUALA LUMPUR: Penularan jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) berlaku di semua ladang unta di Tanah Suci dan tidak terhad di Hudaibiyah.

Timbalan Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun KC Ahmmu, berkata larangan melawat lokasi terbabit dikeluarkan Kementerian Kesihatan kepada syarikat pengendali umrah beberapa tahun lalu.

"BUMITRA pernah menganjurkan sesi penerangan mengenai isu berbangkit dengan pihak terbabit, namun terbukti tidak berkesan.

"Ada pengendali yang masih degil, sekali gus membuka ruang jemaah dijangkiti MERS-CoV," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau mengulas cadangan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) yang meminta kerajaan mengeluarkan larangan kepada syarikat pengendali pakej umrah supaya tidak menganjurkan lawatan ke Hudaibiyah, bagi mengelak jangkitan MERS-CoV.

Terkini, Tabung Haji (TH) mengesahkan larangan terhadap jemaah haji dan umrah negara ini untuk melawat ladang unta di Arab Saudi, sudah dikeluarkan Kementerian Kesihatan sejak Julai 2015.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH, Datuk Seri Johan Abdullah, berkata larangan itu dikeluarkan susulan penularan wabak MERS-CoV.

Berita Harian X