Rabu, 27 Disember 2017 | 1:24pm

Banyak yang disembunyikan dalam pentadbiran terdahulu

JOHOR BAHRU: Pentadbiran FELDA terdahulu didakwa terlalu banyak berselindung dan tidak telus dalam memutuskan sesuatu perkara terutama kepada 112,635 peneroka seluruh negara.

Ketua Peneroka Kebangsaan FELDA, Shamsuddin Othman, berkata terlalu banyak perkara yang disembunyikan tanpa diberitahu kepada warga peneroka termasuk isu terbaharu berkaitan pindah milik tanah di Jalan Semarak seperti didedahkan BH.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah FELDA berkata, jika perkara atau sesuatu keputusan mahu dibuat dan dimaklumkan di peringkat awal, satu sesi perbincangan boleh dibuat sebelum dilaksanakan.

"Banyak perkara tersembunyi oleh pentadbiran sebelum ini dan bila ia didedahkan, terbongkar barulah kita (peneroka) tahu. Kalau dari peringkat awal tahu, boleh juga dibincangkan bersama.

"Memang sudah menjadi budaya dalam FELDA untuk memberi kepercayaan penuh kepada pucuk pimpinan tertinggi, tetapi tidak jangka berlaku seperti ini di luar pengetahuan kami.

"Dalam isu pembangunan KLVC (Kuala Lumpur Vertical City), kita di peringkat Lembaga Pengarah bersetuju mahu membangunkan tanah Jalan Semarak, tetapi perincian sehingga lantikan syarikat pemaju dibuat oleh FIC hanya diberitahu tiga bulan kemudian (untuk kelulusan secara retrospektif)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum memulakan mesyuarat bersama Ketua Peneroka di 11 wilayah seluruh negara yang turut dihadiri Pengarah Besar FELDA, Datuk Ab Ghani Mohd Ali, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Majlis Belia FELDA, Muhammad Fazli Hasan dan Presiden Pertubuhan Kami Anak FELDA (KAF ), Fakhrurrazi Mohd Habib.

Berhubung pendedahan BH mengenai isu tanah FELDA, Shamsuddin berkata, Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP) memang terkesan dengan laporan itu dan kesal bagaimana ia boleh berlaku.

"Warga FELDA seluruhnya kecewa dengan urus tadbir yang lemah ini dan kami percaya Perdana Menteri juga sedih serta kecewa apabila perkara ini boleh berlaku.

"Kami bersetuju dan menyokong penuh pihak FELDA di bawah pentadbiran Tan Sri Shahrir Samad dalam memastikan tanah bernilai ratusan juta yang hampir tergadai dalam KLVC dikembalikan hak dan kuasa kepada FELDA.

"Walau dengan apa cara sekalipun (kembalikan tanah) kerana tanah berkenaan dilihat sebagai aset FELDA dan permulaannya pentadbiran FELDA bertapak yang perlu dipelihara dan dipertahankan," katanya.

43 dibaca
SHAMSUDDIN Othman (tengah) pada sidang media sebelum mesyuarat bersama Ketua Peneroka di 11 wilayah seluruh negara di Pejabat FELDA Wilayah Johor Bahru. - Foto Zain Ahmed
Berita Harian X