Ahad, 24 Disember 2017 | 1:19pm

Tiada jemaah dijangkiti MERS-CoV

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menafikan seorang rakyat Malaysia dijangkiti Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

Ia susulan viral di Twitter seorang wanita, mengenai anggota keluarganya yang kembali dari menunaikan umrah dirawat di Hospital Putrajaya kerana disyaki dijangkiti penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tindakan wanita itu menyebarkan berita tidak sahih di laman sosial menyebabkan ia dikongsikan lebih 9,000 pengguna.

"Ujian makmal yang dijalankan ke atas sampel milik pesakit negatif jangkitan MERS-CoV.

"Tindakan tidak bertanggungjawab menularkan maklumat tidak sahih begini menimbulkan kerisauan masyarakat, dan amat dikesali.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau yang belum disahkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Noor Hisham berkata, penularan jangkitan MERS-CoV masih terus berlaku secara aktif di negara Asia Barat, terutama Arab Saudi, negara paling berisiko dan menyebabkan 80 peratus kes jangkitan yang dilaporkan di seluruh dunia.

Katanya, kementerian sentiasa memantau rapi perkembangan MERS-CoV menerusi laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kementerian mengetatkan pemantauan, lebih-lebih lagi apabila ramai rakyat Malaysia mengambil kesempatan mengerjakan ibadah umrah semasa musim cuti sekolah yang panjang, seperti sekarang ini kerana berpotensi mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan MERS-CoV ketika berada di tanah suci.

"Kerjasama semua Kementerian dan agensi berkaitan termasuk agensi pelancongan serta jemaah atau pelawat itu sendiri diperlukan supaya kementerian boleh terus mencegah penularan penyakit ini ke dalam negara," katanya.

Sehingga kini, Noor Hisham berkata, lebih 3,000 jemaah haji, umrah dan pelawat ke negara ini dijangkiti menunjukkan gejala MERS-CoV.

Namun begitu, beliau berkata, ujian MERS-CoV yang dijalankan ke atas mereka negatif kecuali kes yang pernah dilaporkan pada April 2014, membabitkan seorang lelaki berumur 50 tahun, yang pulang dari mengerjakan umrah.

Katanya, jemaah atau pelawat ke negara berisiko tinggi jangkitan MERS-CoV dinasihatkan patuhi langkah pencegahan ketika berada di tanah suci atau selepas pulang ke Malaysia, iaitu :

* Selalu amalkan tahap kebersihan diri tinggi, seperti kerap cuci tangan

dengan air dan sabun atau bahan pencuci tangan, terutamanya selepas

batuk, bersin atau selepas bersalaman.

* Ketika dalam tempoh lawatan, sentiasa bawa penutup mulut dan hidung

serta bahan pencuci tangan untuk digunakan apabila perlu.

* Semasa dalam tempoh lawatan, elakkan mengunjungi kediaman atau

institusi penjagaan kesihatan yang terbabit atau pernah disahkan dijangkiti

wabak MERS-CoV.

* Elakkan melawat ke ladang haiwan atau menyentuh sebarang jenis haiwan, khususnya unta.

* Elakkan makan atau minum sebarang produk mentah/tidak dimasak dengan sempurna daripada unta - seperti susu, daging dan air kencing.

* Jemaah umrah atau pelawat yang baru pulang dari mengerjakan umrah

dinasihatkan mendapatkan rawatan dengan segera, sekiranya mengalami

gejala demam dan jangkitan respiratori (seperti batuk dan kesukaran

bernafas), khususnya dalam tempoh 14 hari setelah tiba.

* Mereka perlu memaklumkan mengenai sejarah perjalanan mereka kepada

doktor yang merawat.

Berita Harian X