Sabtu, 23 Disember 2017 | 7:04pm
DATUK Seri Dr Irmohizam Ibrahim menunjukkan bernilai RM50,000 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk diagihkan kepada 1,000 pelajar sekolah rendah di Parlimen Kuala Selangor. - Foto Icka s Hassan

1,000 murid Kuala Selangor terima sumbangan tabungan PTPTN

KUALA SELANGOR: Seramai 1,000 murid sekitar Parlimen Kuala Selangor, menerima agihan sumbangan tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM50,000 hari ini.

Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, berkata menerusi program 'Back to School' anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu, setiap murid menerima sumbangan simpanan SSPN-i RM50.

Katanya, selain sumbangan simpanan, murid yang terpilih turut menerima bantuan peralatan sekolah seperti beg, kasut dan alat tulis.

"Program ini ialah sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN kepada golongan yang memerlukan, selain menggalakkan tabiat menabung bagi tujuan pendidikan dalam kalangan ibu bapa.

"Ia juga membuktikan bahawa PTPTN bukan sahaja memberi akses kepada anak-anak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, sebaliknya turut berperanan untuk mempromosikan elemen penabungan untuk pendidikan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Back to School' Parlimen Kuala Selangor di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid.

Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, berkata PTPTN kini giat membudayakan sikap menabung untuk tujuan pendidikan tinggi dan usaha itu mendapat sambutan menggalakan daripada masyarakat.

"Setakat November lalu, sebanyak 3.2 juta akaun sudah dibuka membabitkan deposit simpanan berjumlah RM3.04 bilion di seluruh negara, termasuk di Selangor membabitkan 631,350 akaun dengan deposit berjumlah RM940.84 juta," katanya.

Sementara itu, Mastura berkata, program 'Back to School' di Kuala Selangor itu adalah yang kedua diadakan oleh PTPTN tahun ini untuk membantu golongan yang memerlukan menjelang penggal baharu persekolahan tahun depan.

"Bulan lalu, kami adakan program ini di Parlimen Besut. Pada masa sama, sepanjang tahun ini juga kita turut mengadakan program sumbangan simpanan SSPN-i berjumlah RM50 kepada anak golongan B40 di seluruh negara.

"Untuk program itu, PTPTM menjalinkan kerjasama dengan Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) iaitu RM30 disumbangkan PTPTN dan RM20 lagi daripada BKUM membabitkan lebih 16,000 penerima," katanya.

Sementara itu, waris murid, Md Zuki Md Amin,44, berkata walaupun hanya seorang daripada lima anaknya menerima sumbangan, namun sedikit sebanyak ia meringankan beban terutama apabila penggal baharu persekolahan.

"Saya turut tidak melepaskan peluang mendaftar akaun SSPN-i untuk empat lagi anak saya yang lain kerana merasakan ia penting untuk masa hadapan mereka.

"Konsep dilakukan PTPTN ini sememangnya baik kerana mengajar anak-anak untuk membudayakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi," katanya.

Berita Harian X