Sabtu, 23 Disember 2017 | 4:32pm
SETIAUSAHA Agung Majlis Belia FELDA Malaysia, Mohd Syahrizal Md Yusof (dua kiri) bersama ahli Majlis Belia FELDA Wilayah Terengganu membuat laporan polis berhubung transaksi pindah milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Belia FELDA Terengganu lapor polis

KUALA NERUS: Majlis Belia FELDA Wilayah Terengganu membuat laporan polis berhubung transaksi pindah milik tanah di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung Majlis Belia FELDA Malaysia, Mohd Syahrizal Md Yusof, berkata laporan terbabit dibuat bagi mewakili suara lebih 7,400 peneroka FELDA Wilayah Timur di 20 tanah rancangan FELDA Terengganu, termasuk generasi baharu FELDA.

Katanya, tindakan itu bertujuan untuk mendesak pihak bertanggungjawab terhadap isu penyelewengan ini diheret ke muka pengadilan, selain mengembalikan hak tanah itu kepada pengurusan FELDA.

Beliau berkata, Majlis Belia FELDA Wilayah Terengganu menyokong penuh keputusan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad untuk mengambil tindakan undang-undang, terhadap pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, sebagai agensi yang bertanggungjawab meluluskan pindah milik tanah itu.

"Kami berharap kes ini segera disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malasia (SPRM), sebelum tindakan lanjut dibuat bagi membolehkan FELDA mendapat kembali hak milik tanah strategik berkenaan.

"Tindakan segera ini diharap dapat menyelesaikan isu kehilangan tanah itu secepat mungkin kerana mahu pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelewengan dibawa ke muka pengadilan," katanya kepada media selepas mengadakan bantahan dan laporan di Balai Polis Gong Badak, di sini, hari ini.

Berita Harian X