Khamis, 21 Disember 2017 | 7:11pm

Lakukan apa saja untuk dapat balik tanah: Shahrir

KUALA LUMPUR: FELDA akan mengambil apa saja tindakan untuk mendapatkan kembali hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak bernilai RM270 juta yang ditukar hak milik menerusi penyalahgunaan surat kuasa wakil penuh (PA) yang dianugerahkan pada Jun 2014 kepada Synergy Prominade Sdn Bhd.

Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berkata tindakan itu membabitkan pembatalan PA yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat selain menukar kaveat persendirian kepada kaveat pendaftar dengan Jabatan Tanah dan Galian Kuala Lumpur bagi mengukuhkan penguasaan pemilikan terhadap harta berkenaan.

Beliau berkata, untuk tindakan awal, pihaknya sudah membuat laporan polis pada 12 Disember lalu dan akan mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap pihak yang terbabit dalam urusan penukaran hak milik tanah itu.

Katanya, sehingga kini FELDA tidak menerima sebarang pembayaran hasil penukaran hak milik ke atas tanah strategik yang kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

"FELDA hanya mengetahui penukaran hak milik tanah berkenaan pada Januari lalu dan terus membawa perkara berkenaan kepada Ahli Lembaga Pengarah sebelum mengusahakan untuk mendapatkan kaveat persendirian.

"Selepas membuat rayuan kepada Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sehinggalah pada 14 April 2017, barulah FELDA dibenarkan meletakkan kaveat persendirian ke atas tanah berkenaan.

"Sudah tentu saya terpegun dengan isu ini apabila begitu mudah tanah dimiliki oleh institusi kerajaan dipindah milik, dengar juta-juta tetapi satu sen pun (FELDA) tidak dibayar.

"FELDA tidak berminat untuk menjual tanah itu jika syarikat berkenaan mahu menjelaskan bayaran penukaran hak milik tanah berkenaan," katanya pada sidang media di Menara FELDA, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Razali Ibrahim; Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan dan Pembangunan JPM, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Pengarah Besar FELDA, Datuk Ab Ghani Mohd Ali.

BH hari ini membongkarkan isu FELDA yang berdepan risiko kehilangan hak ke atas kawasan strategik dianggarkan bernilai lebih RM200 juta di pusat bandar raya berikutan dipercayai berlaku transaksi pindah milik tanah mencurigakan sejak 2015.

Aset itu termasuk menara ikonik yang sedang dalam pembinaan didakwa sebagai Menara Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF) di Jalan Semarak dan beberapa kawasan sekitarnya yang didakwa akan dibangunkan sebagai KLVC.

Shahrir berkata, tanah yang ditukar hak milik itu membabitkan perjanjian jual beli (SPA) empat lot tanah dengan SPA pertama pada Disember 2015, manakala tiga lagi SPA pada November 2016.

SPA pertama membabitkan kawasan seluas 12,658 meter persegi bernilai RM54.5 juta); SPA kedua membabitkan 24,000 meter persegi pada harga RM96.982 juta; SPA ketiga (3,000 meter persegi / RM12 juta) dan SPA keempat (26,500 meter persegi / RM106.3 juta).

Mengulas lanjut, Shahrir berkata perkara utama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, beliau sendiri, Lembaga Pengarah FELDA dan JPM adalah untuk FELDA menguasai semula tanah berkenaan walaupun wujud projek pembangunan di tanah itu.

"Sebab itu, usaha kami daripada Januari sampai April lalu ialah untuk kita dapatkan balik kuasa kepada tanah itu dan selepas perkara ini di bawa kepada Unit Kawal Selia JPM dan kemudiannya Jabatan Peguam Negara, pada 12 Disember lalu, FELDA membuat laporan polis terhadap kemungkinan berlaku penipuan dalam soal penukaran atau pemindahan hak milik tanah," katanya yang memaklumkan kepada Perdana Menteri pada Februari lalu.

Beliau mendedahkan selaku pemegang PA, Synergy Prominade Sdn Bhd menjual tanah kepada pihak mereka sendiri.

"Sebagai pemegang PA, syarikat itu jual tanah kepada diri sendiri dengan jumlah nilai yang disebut itu, wakil FELDA tiada yang tandatangan (dokumen penjualan), dia jual sendiri kepada pihak dia," katanya.

17 dibaca
PENGERUSI FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengadakan sidang media mengenai isu pindah milik tanah FELDA Jalan Semarak di Menara FELDA, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad
Berita Harian X