Khamis, 21 Disember 2017 | 3:18pm

Plus tawar rebat tol 20 peratus sempena Krismas

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol sebanyak 20 peratus kepada pemegang kad PLUSMiles bersempena cuti Krismas, 25 Disember ini.

Pemberian rebat tol itu adalah sebahagian daripada langkah PLUS untuk pengguna lebuh raya yang meraikan Krismas serta menghargai sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan lebuh raya PLUS.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi, berkata pengguna kad Touch 'n Go berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 10 peratus pada tarikh berkenaan.

KETUA Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi. - Foto Adzlan Sidek

"Penawaran rebat tol 20 peratus untuk transaksi menerusi kad PLUSMiles adalah sebagai menghargai kesetiaan dan sokongan pemegang kad PLUSMiles.

"Rebat 10 peratus pula diberikan untuk semua transaksi elektronik lain di lebuh raya PLUS," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zakaria berkata, rebat tol turut diberikan bagi perjalanan kenderaan Kelas 1 melebihi 100 kilometer yang membuat transaksi tol di plaza tol di semua lebuh raya kendalian PLUS.

Pemberian rebat itu ditawarkan sepanjang hari pada 25 Disember.

"Pada 25 Disember, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa.

"Rebat tol 20 peratus dan 10 peratus itu akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch 'n Go (dalam bentuk Tambah Nilai) apabila pengguna menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Januari hingga 14 April 2018," katanya.

Bagaimanapun, rebat itu tidak meliputi transaksi tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

Berita Harian X