Selasa, 19 Disember 2017 | 10:00am
MENGIKUT kajian perbelanjaan isi rumah antara 2009 hingga 2014 yang dilakukan Jabatan Perangkaan menunjukkan perbelanjaan rakyat khususnya di bandar melebihi pendapatan mereka. - Foto fail NSTP

Kaji semula indeks kemiskinan

KUALA LUMPUR: Seorang penganalisis ekonomi berpendapat indeks kemiskinan yang diguna pakai sekarang tidak lagi relevan dan perlu dinilai secara menyeluruh sebagai langkah penilaian semula kriteria miskin bandar.

Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata, ​garis kemiskinan tidak boleh ditentu berdasarkan faktor fizikal contohnya, isi pendapatan rumah sahaja seperti diguna pakai ketika ini.


PENGANALISIS Ekonomi, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

Pensyarah kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, ia perlu diperluaskan, terutama aspek sosial dengan menilai semula kos perbelanjaan serta lokasi yang memberi kesan terhadap kos sara hidup.

Katanya, mengikut kajian perbelanjaan isi rumah antara 2009 hingga 2014 yang dilakukan Jabatan Perangkaan menunjukkan perbelanjaan rakyat khususnya di bandar melebihi pendapatan mereka.

"Perbelanjaan rakyat di bandar meningkat secara purata 9.3 peratus setahun, iaitu daripada RM2,465 (2009) hingga RM3,921 sebulan (2014).

"Peningkatan harga 460 barang dan perkhidmatan 27 peratus antara 2010 hingga 2017, turut menyumbang kenaikan mendadak perbelanjaan sara diri penduduk di bandar.

"Faktor fizikal seperti gaji, pemilikan rumah dan kenderaan tidak lagi menjadi penentuan tahap kemiskinan seseorang khususnya yang menetap di bandar," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas cadangan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal menilai semula kriteria miskin bandar kerana komitmen serta kos sara hidup sudah berubah.

Johari dilaporkan berkata, ada dua kriteria miskin, iaitu yang boleh dinilai berdasarkan pendapatan isi rumah dan satu lagi faktor lain seperti bebanan yang tidak boleh dinilai mengikut pendapatan isi rumah.

Contohnya, isi pendapatan rumah RM3,000 hingga RM4,000 jika menetap di luar bandar sudah cukup selesa, sebaliknya nilai yang sama bagi sesetengah golongan yang menetap di bandar masih tidak mencukupi.

Mengulas lanjut Razman​ berkata, sikap menabung perlu diambil kira sebagai contoh kriteria miskin bandar bagi memudahkan JKM dan Baitulmal menyalurkan bantuan.

Sebagai contoh, katanya, miskin bandar boleh dikategorikan mereka yang memiliki bebanan dan komitmen tinggi serta tiada lebihan pendapatan.

"Kajian lebih terperinci dan kerap perlu dilakukan bagi memudahkan usaha menangani kemiskinan dipertingkatkan. Kali terakhir kajian perbelanjaan dilakukan pada 2014 serta tidak menyeluruh.

Sementara itu, Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, setuju garis kemiskinan dinilai semula kerana kaedah yang digubal beberapa tahun lalu sudah tidak relevan berdasarkan perkembangan ekonomi semasa.


PAKAR sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran

Justeru, katanya, cadangan supaya kriteria kemiskinan bandar dilihat amat wajar berdasarkan senario semasa kerana pendapatan bulanan tidak lagi relevan sebagai penentuan miskin relatif, miskin tegar dan sebagainya.

"Definisi kemiskinan perlu dilihat dari aspek fizikal dan sosial untuk meletakkan mereka sebagai miskin.

"Memiliki kenderaan, telefon bimbit perlu dilihat sebagai keperluan asas untuk kelangsungan hidup dan mencari rezeki, bukan justifikasi kesenangan individu.

"JKM dan Baitulmal perlu mengambil kira masyarakat yang tinggal di bandar berhadapan situasi miskin bandar secara mengejut apabila berlaku peningkatan kos sara hidup yang mendadak sejak kebelakangan ini," katanya.

Berita Harian X