Isnin, 18 Disember 2017 | 5:54pm
TIMBALAN Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Halim Amir Osman (kanan) bersama Pengerusi CIMB Islamic Bank Berhad, Datuk Mohamed Ross Mohd Din (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama, Rozalinda Katan pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang hadiah peserta Skim Thohir di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saddam Yusoff

Ibu mengandung menang pakej umrah Skim Thohir

 

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjaya menarik 7,035 pembayar zakat untuk membuat potongan gaji bagi menunaikan rukun Islam itu menerusi kempen Skim Thohir.

Jumlah itu direkodkan dalam tempoh lapan bulan bermula April hingga November lalu.

 

Daripada jumlah itu, 3,575 didaftarkan dalam fasa kedua skim berkenaan antara Ogos hingga November manakala selebihnya pada fasa pertama bermula April lalu.

Skim berkenaan adalah kerjasama antara PPZ-MAIWP dan CIMB Islamic Berhad.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Halim Amir Osman, berkata jumlah itu menunjukkan kempen berkenaan berjaya menarik perhatian umat Islam terhadap kewajipan membayar zakat.

"Skim Thohir adalah kaedah bayaran zakat yang menjadi pilihan di Wilayah Persekutuan kerana lebih mudah dan selamat," katanya pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang hadiah peserta skim berkenaan di sini hari ini.

 

Turut hadir, Pengerusi CIMB Islamic Bank Berhad, Datuk Mohamed Ross Mohd Din.

Pemenang utama hadiah skim itu ialah Rozalinda Katan, 35, dari Melaka, yang memenangi pakej umrah bagi dua orang.

 

Sembilan pemenang yang lain menerima pelbagai hadiah seperti baucar pelancongan bernilai RM5,000, perkakas elektrik dan wang tunai RM500.

Rozalinda berkata beliau akan mengerjakan Umrah bersama suami selepas bersalin nanti.

 

"Ini adalah detik sejarah dalam hidup saya kerana pertama kali memenangi hadiah seperti ini dan Insya-Allah akan mengerjakan Umrah bersama suami selepas bersalin," katanya.

 

Rozalinda yang bekerja sebagai kakitangan Amanah Mutual Berhad (AMB) juga berkata kemenangan itu adalah rezeki anak ketiganya.

 

Katanya lagi, beliau membuat pembayaran zakat menggunakan potongan gaji itu bermula bulan Ogos 2017.

 

Berita Harian X