Ahad, 17 Disember 2017 | 5:19pm
YUSUF Azmi.- Foto Hafiz Sohaimi

Tubuh Biro Pengurusan Kawal Selia Umrah - PPIM

KUALA LUMPUR: Tabung Haji disyor menubuhkan Biro Pengurusan Kawal Selia Umrah, yang dikendalikan sepenuhnya agensi itu atau anak syarikatnya bagi menjamin hak pengguna daripada berterusan dianiaya syarikat pengendali umrah palsu.

Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhamad Yusof Azmi, turut mencadangkan Tabung Haji menyediakan satu bentuk sistem pangkalan data berintegrasi antara agensi untuk membolehkan syarikat pelancongan membuat semakan atau kemaskini maklumat jemaah masing-masing.

Katanya, kerajaan menerusi agensi tertentu, juga perlu melahirkan lebih ramai mutawif tempatan dan tidak hanya bergantung kepada khidmat mutawif luar, yang biasanya rakyat Indonesia.

"Tiga penambahbaikan itu jika dapat dilaksanakan dengan baik oleh kerajaan dan Tabung Haji, ia berupaya menyediakan satu mekanisme mengawal penipuan umrah dengan berkesan.

"Kami (PPIM) bersetuju Tabung Haji mengambil alih tugas memantau syarikat pengendali umrah di seluruh negara kerana ia institusi berpengalaman dan diiktiraf cemerlang menguruskan jemaah haji serta umrah profesional.

"Kalau Tabung Haji boleh ambil tanggungjawab ini, saya yakin syarikat yang selama ini menipu jemaah tidak akan berani lagi menipu pengguna," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas pembatalan pelaksanaan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS), semalam, iaitu sehari selepas dilancarkan.

Dengan pembatalan itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan akan mengkaji semula mekanisme pemantauan dan kawalan pengendalian pakej umrah bagi menggantikan IMAMS.

Mekanisme baharu yang akan menggantikan sistem itu antara lain mempertimbangkan pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan urusannya tidak akan membabitkan orang bukan Islam, selaras Lesen Khas Umrah (LKU).

Peraturan LKU menetapkan hanya warga tempatan beragama Islam boleh mengendalikan pakej umrah.

Muhamad Yusof turut mengesyorkan hanya syarikat pelancongan dan pengendali umrah dimiliki orang Islam dibenar menawarkan perkhidmatan itu, selain menetapkan syarat wajib syarikat baharu didaftarkan dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Katanya, semua pihak perlu meletakkan kepentingan pengguna melebihi perkara lain dalam urusan itu kerana Islam adalah agama rasmi di negara ini.

"Analogi mudah, takkan urusan agama kita, nak suruh orang bukan Islam masuk campur dan tentukan keputusannya. Ini urusan kita, biarlah kita yang selesaikan," katanya.

Berita Harian X