Sabtu, 16 Disember 2017 | 8:39pm
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika sidang media berkenaan Sistem Pemantauan Pengendalian Pakej Umrah Malaysia (IMAMS) di Pusat Pelancongan Malaysia Matic hari ini. - Foto BERNAMA

IMAMS akan diganti - Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) menjamin mekanisme baharu bagi menggantikan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) yang dibatalkan, akan mempertimbangkan pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Jaminan turut diberi ia tidak membabitkan orang bukan Islam, selaras Lesen Khas Umrah (LKU) yang menetapkan hanya warga tempatan beragama Islam boleh mengendalikan pakej umrah.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata MOTAC akan mengkaji semula mekanisme pemantauan dan kawalan pengendalian pakej umrah bagi menggantikan IMAMS.

Katanya, perkara itu akan dikaji balik menerusi Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) bagi memastikan isu berbangkit dalam IMAMS tidak berulang.

"Kajian semula ini bertujuan mencari mekanisme lebih berkesan dan tidak membebankan rakyat. Niat kami hanya untuk membantu rakyat," katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Rashidi Hasbullah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Nor Yahati Awang.

IMAMS dilancarkan Mas Ermieyati pagi semalam, namun mendapat bantahan orang ramai dan pengendali umrah.

Keadaan diburukkan dengan sebaran mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang antara lain mengecam pelaksanaannya berdasarkan beberapa isu.

Antaranya dakwaan syarikat mengendalikan sistem itu mempunyai ketua pegawai operasi bukan Islam yang bertentangan dengan ketetapan pengendalian umrah hanya dikendalikan orang Islam menerusi LKU, kos mahal dan mengenakan GST kepada jemaah umrah.

Mas Ermieyati mengakui belum mendapat maklumat penuh berhubung pembabitan bukan Islam dalam IMAMS.

"Maklumat diberi mengatakan tiada bukan Islam dan saya tahu ini cukup sensitif," katanya sambil menambah ketua pegawai operasi bukan Islam terbabit sudah meletak jawatan.

Beliau berkata, IMAMS asalnya bertujuan menjaga kebajikan dan hak jemaah umrah menerusi permohonan visa dan insurans,  selain bertujuan menangani masalah penjualan visa umrah yang membawa kepada berlakunya penipuan umrah.

"Saya tidak akan melepaskan sesiapa yang buat hal dan jual visa umrah selepas ini," katanya.

Berita Harian X