Sabtu, 16 Disember 2017 | 4:24pm
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Surianie Mohd Hanif

Penganjur sukan perlu utama isu keselamatan

KUALA LUMPUR: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) sedia membantu penganjur sukan menguruskan aspek berkaitan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) bagi memastikan keselamatan menjadi keutamaan.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata isu KPP dalam bidang sukan amat penting kerana ia membabitkan pekerja, peserta dan juga pengunjung.

Katanya, galakkan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempromosi gaya hidup sihat menjadi pemangkin kepada banyak program sukan yang dianjurkan, tetapi pada masa sama kes kemalangan yang mungkin berpunca daripada penganjuran sukan berkenaan perlu dikurangkan.

"Kemalangan boleh dielakkan jika mereka yang terbabit terutama pihak berkuasa dan penganjur menggunakan sistem pengurusan KKP berdasarkan konsep pengenalan bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC).

"Menjadi tanggungjawab agensi mereka untuk mengenal pasti bahaya dan risiko dan mengambil langkah keselamatan untuk menanganinya, supaya kemalangan atau kematian tidak berlaku," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lam Thye berharap pihak berkuasa dapat mengetatkan prosedur keselamatan dan memastikan penganjur sukan seperti maraton, patuh pada syarat keselamatan.

Selain itu, katanya, pihak penganjur perlu mendapatkan kelulusan daripada agensi berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan, polis trafik, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dan Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF).

"Kementerian dan MAF juga harus menyediakan garis panduan komprehensif untuk rujukan oleh penganjur serta syarat untuk mendapatkan permit. Semua acara yang diluluskan mesti dimuat naik ke laman web rasmi," katanya.

Baru-baru ini, seorang peserta larian Klang City International Marathon parah, manakala dua lagi cedera dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Kapar Batu 2, Klang.

Berita Harian X