Jumaat, 15 Disember 2017 | 6:19pm
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - Foto Mohd Yusni Ariffin

IMAMS tutup ruang penipuan umrah

PUTRAJAYA: Penggunaan Sistem Pengurusan Maklumat Bersepadu (IMAMS), iaitu satu-satunya akses rasmi kepada permohonan visa umrah di Malaysia adalah demi menjaga kepentingan awam dan menutup ruang penipuan dalam rantaian pelaksanaan pakej umrah.

Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menegaskan penggunaan sistem berkenaan yang berkuatkuasa hari ini, akan memperkasakan aktiviti pemantauan, penyiasatan dan penguatkuasaan pengendalian pakej umrah yang berada di pasaran secara lebih sistematik dan teratur.

Beliau turut menjelaskan, caj keseluruhan yang terbabit bagi penggunaan sistem IMAMS ini adalah RM90.10, termasuk GST sebanyak RM5.10 dan ia perlu dimasukkan dalam harga pakej umrah sedia ada untuk setiap jemaah.

"Jumlah itu membabitkan RM45 sebagai bayaran pengurusan maklumat pakej umrah. Ia adalah kadar paling rendah di dunia berbanding negara lain yang mengguna pakai sistem seumpamanya seperti Jordan, Mesir dan Sudan

"Selain itu, RM40 adalah insurans takaful umrah yang mana sistem IMAMS menawarkan perlindungan takaful yang komprehensif kepada agensi pelancongan bagi jemaah kendaliannya.

"Dan, ia juga terendah di pasaran bagi skim takaful perjalanan yang komprehensif serta memenuhi kehendak kementerian.

"Mana-mana agensi pelancongan yang tidak menyediakan perlindungan yang setara atau lebih baik daripada insurans takaful melalui sistem IMAMS, adalah diwajibkan mengambil insurans takaful berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengenai GST, Mas Ermieyati menjelaskan ia sebenarnya untuk perkhidmatan sistem IMAMS yang diselenggarakan bagi memastikan kepentingan jemaah umrah terjaga.

"Adalah amat memalukan apabila ada sesetengah pihak menggembar-gemburkan mengenai kutipan GST bernilai RM5.10 dijadikan sebagai asas untuk memanipulasi pemikiran rakyat, sedangkan sistem itu bagi membendung penipuan umrah yang boleh menyebabkan kerugian melebihi jutaan ringgit.

"Saya harap semua pihak membuka mata dan telinga, jangan memanipulasi pemikiran rakyat Malaysia dengan perkara tidak berasas sedangkan kerajaan cuba membantu daripada menjadi mangsa tipu umrah," katanya.

Ditanya, mengapa sistem itu diuruskan sebuah syarikat, Mas Ermieyati, berkata ia bagi memudahkan urusan dan mengelak sebarang kekeliruan.

"Kenapa perlu banyak-banyak, satu cukuplah. Melalui IMAMS pangkalan data dan proses pemantauan induk ke atas pengendalian umrah di negara ini dapat diwujudkan, selain ia juga adalah integrasi pangkalan data pendaftaran Pegawai Pemasaran Umrah yang dilantik agensi pelancongan berlesen," katanya.

Berita Harian X