Khamis, 14 Disember 2017 | 3:09pm
Muhammad Ariff Jazlan (tengah) berkongsi keceriaan bersama ibu, Aiza Marina serta bapa, Johan Abdul Jalil selepas memperolehi keputusan semua A pada Majlis Penyerahan Keputusan PT3 di SMK Bukit Jelutong, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Belajar sebelum kelas resipi cemerlang

SHAH ALAM: Membuat persediaan awal antara resipi kejayaan Muhammad Ariff Jazlan Johan memperoleh keputusan cemerlang 10A pada Penilaian Taksiran Tingkatan 3 (PT3) yang diumumkan hari ini.

Muhammad Ariff, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong di sini, berkata beliau sentiasa mengambil langkah awal terutama apabila membabitkan pelajaran.

"Saya memang akan belajar dan ulangkaji terlebih dahulu sebelum memasuki kelas kerana saya ingin sentiasa bersedia. Ternyata usaha mengulangkaji sejak Tingkatan Dua lagi berhasil dengan keputusan hari ini," katanya.

Katanya, beliau juga tidak suka belajar pada saat-saat akhir kerana bimbang menghadapi tekanan jika masih banyak perkara yang perlu diulangkaji sebelum peperiksaan sebenar.

Guru Pertaksiran Bahasa, Radziah Abdullah (tiga dari kanan) berkongsi kejayaan anaknya, Wan Nur Ariana Wan Zaki bersama Guru Bahasa Inggeris, Thamil Selvi Arjunan (dua dari kiri) dan anaknya, Hari Thamarai Kannan serta Muhammad Ariff Jazlan (dua dari kanan) serta ibu, Aiza Marina pada Majlis Penyerahan Keputusan PT3 di SMK Bukit Jelutong, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Sementara itu, ibunya, Aiza Marina Zakaria, 43, berkata beliau mendidik anak untuk belajar terlebih dahulu di rumah sebelum diterangkan dengan lebih jelas di sekolah oleh guru.

"Saya menerapkan sikap berkenaan pada semua anak sejak mereka kecil lagi. Jika mereka bersedia awal, lebih mudah untuk faham apabila guru mengajar," katanya.

Seorang lagi pelajar cemerlang dari sekolah sama, T Hari, 15, yang memperoleh keputusan 9A berkata, beliau menumpukan perhatian sepenuhnya ketika di dalam kelas.

"Saya memberikan tumpuan ketika guru mengajar dan terus bertanya jika ada sebarang kekeliruan," katanya.

Seramai 324 pelajar Tingkatan 3 sekolah berkenaan menerima keputusan PT3 hari ini.

Berita Harian X