Rabu, 13 Disember 2017 | 6:15pm
PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa membelah perut seekor buaya yang berjaya ditangkap hari ini kerana disyaki membaham seorang lelaki - Foto Ihsan APM
BUAYA yang berjaya ditangkap dan perutnya dibelah bagi mencari seorang lelaki yang hilang di sungai di Kampung Sebemban, Serian sejak seminggu lalu. - Foto Ihsan APM

Belah perut buaya, cari lelaki hilang

SERIAN: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa membelah perut seekor buaya yang berjaya ditangkap hari ini kerana disyaki membaham seorang lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Kampung Sebemban, di sini.

Buaya berkenaan berjaya dijerat oleh kakitangan Jabatan Hutan Sarawak yang turut serta dalam operasi mencari mangsa, Ariff Bagoh, 45, yang hilang ketika memancing di tebing sungai berkenaan, sejak Rabu minggu lalu.

Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, Jabatan Hutan Sarawak memasang beberapa umpan di sungai berkenaan sejak beberapa hari lalu selepas pasukan SAR yakin mangsa disambar buaya.

"Penduduk kampung juga yakin mangsa disambar buaya berdasarkan penemuan kesan tapak kaki reptilia itu berdekatan peralatan memancing milik mangsa yang ditemui di tebing sungai itu," katanya.

Beliau berkata, ketika operasi mencari mangsa memasuki keenam hari ini, salah satu umpan yang dipasang Jabatan Hutan Sarawak itu mengena dan seekor buaya dianggarkan sepanjang dua meter berjaya ditangkap.

"Pasukan SAR serta penduduk mengambil keputusan untuk membelah perut buaya itu. Bagaimanapun selepas dibelah, tiada sebarang anggota badan manusia ditemui di dalam perut reptilia berkenaan.

"Operasi SAR kini diteruskan dan umpan juga masih dipasang kerana kita yakin akan mendapat jawapan apabila buaya sebenar yang membaham mangsa berjaya ditangkap nanti," katanya.

Berita Harian X